2,000 beg darah diperlukan setiap hari untuk pastikan bekalan cukup - Dzulkefly
Bernama
Mac 2, 2024 15:27 MYT
Mac 2, 2024 15:27 MYT
PETALING JAYA: Negara masih memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah secara purata setiap hari untuk memastikan stok bekalan darah mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehubungan itu, kementeriannya akan memperhebat usaha mempromosikan kempen derma darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) dan St John Ambulans Malaysia (SJAM).
"Walaupun kita mempunyai lebihan bekalan darah, kita tidak mahu selesa, (kerana) kita tahu mungkin dalam situasi atau keadaan tertentu bekalan darah yang lebih akan diperlukan, jadi kita sentiasa membantu kempen derma darah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Suite Derma Darah SJAM yang pertama di pusat beli-belah 1 Utama di sini hari ini.
Mengulas tentang aktiviti menderma darah pada Ramadan, Dzulkefly berkata walaupun kebiasaannya menyaksikan penurunan angka penderma darah, perkara itu tidak akan mengendalakan operasi perolehan darah secara keseluruhan.
"Aktiviti derma darah merentasi kaum dan agama, lagipun tidak ada masalah dari sudut hukum agama untuk menderma darah (ketika berpuasa), paling penting seseorang itu sihat, itu syarat utama," katanya.
Sementara itu, Ketua Seksyen Pengurusan Penderma Bahagian Perolehan Darah PDN Dr D Thane Moze menyeru anak-anak muda dari usia 17 tahun untuk tampil menderma darah.
Beliau berkata ini kerana generasi usia pertengahan hingga ke usia emas kebanyakannya mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkan mereka tidak lagi sesuai untuk menderma darah.
"Kriteria kelayakan penderma darah sedikit ketat bagi memastikan penderma dan penerima selamat. Kami ingin menggalakkan lebih ramai golongan muda dari usia 17 tahun tampil menderma, mereka boleh datang bersama ibu bapa atau penjaga mereka," katanya.
-- BERNAMA