2,000 anggota APM sedia hadapi air pasang besar di Pantai Barat

Bernama
September 9, 2018 06:44 MYT
Pada bulan ini, air pasang besar diramalkan berlaku pada 9 hingga 13 September dan 23 hingga 28 September. - Gambar hiasan
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengarahkan seramai 2,000 anggotanya untuk memantau lima negeri di pantai barat Semenanjung yang dijangka mengalami air pasang besar.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Roslan Wahab berkata negeri terbabit ialah Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
"Fenomena air pasang besar ini dijangka berlaku dalam tempoh tiga bulan iaitu pada bulan ini (September), Oktober dan November ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu APM Wilayah Persekutuan di di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengarah APM Kelantan Lt. Kol Zainuddin Hussin, Pengarah APM Wilayah Persekutuan Kol Md Anuar Jasmin dan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.
Roslan berkata pada bulan ini air pasang besar diramalkan berlaku pada 9 hingga 13 September dan 23 hingga 28 September manakala pada bulan depan dijangka pada 8 hingga 12 Oktober dan 22 hingga 27 Oktober dan pada November dijangka pada 6 hingga 11 November serta 21 hingga 26 November.
-- BERNAMA
#air pasang besar #angkatan pertahanan awam #APM #Kedah #Pantai Barat Semenanjung #Perak #Perlis #pulau pinang #Roslan Wahab #Selangor
;