1MDB: Usah bertindak melulu dan terus menghukum Najib- Hishammuddin
Astro Awani
Julai 5, 2015 10:19 MYT
Julai 5, 2015 10:19 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, meminta semua pihak agar bertenang dan tidak membuat sebarang andaian awal berhubung dakwaan beberapa media antarabangsa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkaitan isu 1MDB.
“Jangan bertindak melulu dan terus menghukum Perdana Menteri kerana dakwaan itu hanyalah berdasarkan laporan media yang belum disahkan kebenarannya. Jangan juga membuat sebarang spekulasi kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO, beliau juga bersetuju bahawa dakwaan terbabit adalah satu perkara serius yang telah menarik perhatian ramai dan perlu diambil tindakan segera.
Justeru beliau sendiri seperti rakyat Malaysia yang lain juga ingin tahu keadaan yang sebenar.
Ruang juga katanya harus diberikan kepada pihak berkuasa khususnya Pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan ini.
BACA: Najib perlu beri penjelasan menyakinkan - Muhyiddin
Hishammudin turut melahirkan rasa keyakinan beliau dengan Pasukan Petugas Khas ini untuk menjalankan siasatan dengan segera, adil dan tidak berpihak.
Hishammuddin turut menggesa agar pihak-pihak yg membuat dakwaan tersebut agar tampil dengan bukti yang kukuh.
“Langkah ini penting kerana dakwaan ini bukan sahaja melibatkan maruah dan kredibiliti Perdana Menteri, malah imej kerajaan Malaysia di mata dunia,” katanya lagi.
Hishammuddin turut melahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan akan tetap bersama beliau dalam ketegasannya untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat dakwaan tidak berasas.