1MDB: Tiada apa yang perlu saya sembunyikan - Jho Low

Astro Awani
Mac 12, 2015 10:54 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penasihat pelaburan Hong Kong Jynwel Capital, Low Taek Jho Low, 33, menafikan semua tuduhan penyelewangan duit dan penipuan terhadapnya. - Gambar fail
Ahli perniagaan Malaysia, Taek Jho Low, 33, menafikan semua tuduhan penyelewengan wang dan penipuan yang dilemparkan terhadapnya, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hangat diperkatakan ramai ketika ini.
Dia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penasihat pelaburan Hong Kong Jynwel Capital berkata tiada apa yang perlu dia sembunyikan dan mendakwa segala tuduhan terhadapnya berbau politik.
Jho Low membuat kenyataan itu ketika tampil dalam satu temu bual eksklusif bersama South China Morning Post.
Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Saya percaya kepada kedaulatan undang-undang.
"Saya rasa seperti saya telah menjadi mangsa kepada politik Malaysia, yang semakin berpolarisasi. Saya yang menjadi sasaran. Keputusan perniagaan 1MDB dibuat dan diluluskan selaras dengan rangka kerja pentadbiran pengurusan korporat mereka, iaitu melalui pihak pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham mereka.
“Jadi mengapa mempolitikkan saya dan cuba untuk menyalahkan semua perkara kepada saya apabila saya tidak mempunyai kuasa membuat keputusan?
"Jika pihak berkuasa Malaysia meminta saya untuk tampil membantu siasatan mereka, saya gembira untuk bekerjasama. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Saya percaya kepada kedaulatan undang-undang. Setakat hari ini, saya belum terbabit dalam apa-apa siasatan. Saya tidak pernah melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang," tambah Jho Low kepada SCMP dari pejabatnya di Hong Kong.
LIHAT ARTIKEL SIAPA SEBENARNYA JHO LOW
Sebelum ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dua lagi individu, Low Taek Jho dan Datuk Shahrol Halmi berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya Jho Low, seorang ahli perniagaan dan juga Shahrol, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB perlu disiasat kerana melanggar Akta Pengubahan Wang Haram dan pecah amanah.
Pada 4 Mac, Najib mengarahkan Ketua Audit Negara, meneliti akaun 1MDB berikutan laporan media terhadap syarikat itu baru-baru ini.
Dalam temu bual bersama SCMP, Jho Low turut menafikan dia adalah dalang disebalik 1MDB.
“Saya tidak diupah 1MDB untuk bekerja untuk mereka dan saya tidak mendapat apa-apa bayaran daripada 1MDB. Jika seseorang dari 1MDB bertanya untuk mendapatkan pandangan saya secara tidak formal, saya akan berikan pandangan saya sebagaimana rakyat Malaysia yang lain,” kata Jho Low yang kini menetap di Hong Kong sejak lima tahun yang lalu.
Jurucakap Low juga mengesahkan kepada SCMP setakat pertengahan Mei 2009, dia telah membantu membangunkan Terengganu Investment Authority (TIA), bersama institusi yang lain seperti Goldman Sachs, McKinsey Consulting dan Boston Consulting Group.
Pada tahun 2010, Jho Low berpindah dari Malaysia ke Hong Kong. Dia membangunkan syarikat Jynwel Capital di Hong Kong pada 19 November 2010, berdasarkan laporan korporat Hong Kong.
Ketika dalam temu bual ini juga Jho Low mengakui pernah hidup dalam kemewahan ketika di New York dan beberapa bandar di serata dunia dan kemudiannya lebih berhati-hati daripada terus menjadi perhatian selepas dinasihati kedua orang tuanya.
Jho Low juga berkata pendapatannya adalah daripada kerjaya pelaburannya dan juga daripada harta kekayaan ayah dan datuknya dari Guangdong.
Low sebelum ini menuntut pengajian di Harrow, England dan kemudiannya mendapat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.
#1MDB #Jho Low