1MDB tarik balik saman terhadap Riza Shahriz dan dua pihak lain

Bernama
Februari 24, 2025 04:45 MYT
1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menarik balik saman terhadap Riza Shahriz yang didakwa menyalahgunakan sebanyak AS$248 juta dana untuk membiayai produksi filem dan membeli pelbagai hartanah. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menarik balik saman terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang didakwa menyalahgunakan sebanyak AS$248 juta dana untuk membiayai produksi filem dan membeli pelbagai hartanah.
Peguam Rabindra S. Nathan, yang mewakili 1MDB dan tiga anak syarikatnya memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, beliau telah menerima arahan untuk menarik balik kes tersebut terhadap semua defendan.
Peguam Riza Shahriz, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau tidak membantah perkara tersebut.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan kemudian memerintahkan pihak-pihak yang terlibat untuk mengemukakan hujah mengenai kos dan menetapkan 28 Feb untuk memutuskan perkara tersebut.
Perbicaraan bermula pada 16 Okt tahun lepas dengan plaintif, 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memanggil tiga saksi termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan.
Pada Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman terhadap Riza Shahriz, Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Ltd kerana didakwa menerima sekitar AS$248 juta dana yang disalahgunakan untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk membiayai sebuah filem dan membeli pelbagai hartanah.
1MDB mendakwa, Riza Shahriz telah menyalahgunakan dana mereka daripada Jho Low atau bertindak dengan cuai dan tidak bertanggungjawab dengan gagal membuat pertanyaan yang relevan mengenai sumber dana tersebut.
Oleh itu, plaintif meminta pengisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab ke atas dana yang disalahgunakan tersebut, dan dengan itu, mereka menuntut bayaran semula.
Dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 2021, defendan mendakwa telah memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menghasilkan beberapa filem di Amerika Syarikat.
Ditemui pemberita selepas prosiding, seorang lagi peguam Riza Aziz, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu pemberita, saman itu ditarik balik susulan keterangan saksi defendan iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang menyatakan satu representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara agar suatu penyelesaian secara global dapat dicapai dalam kes saman ini.
Mohamad Zamri menerusi pernyataan saksinya berkata, Jabatan Peguam Negara telah bersetuju dengan representasi itu dan merekodkan penghakiman persetujuan di Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Mei 2020 sebagai penyelesaian global dalam kes saman itu.
Pada 14 Mei 2020, Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1MDB. - BERNAMA
#1MDB #tarik balik saman #riza shahriz #salah guna dana #produksi filem
;