1MDB: Tak perlu 'jump the gun'

V Loganathan
Julai 11, 2015 07:34 MYT
Apakah kita berlaku tidak adil ke atas institusi yang kita bentuk untuk menjalankan fungsi sebagai agensi penguat kuasa?
NEGARA berhadapan dengan satu siasatan yang paling getir, bukan sahaja menarik perhatian domestik, malah komuniti antarabangsa. Dua faktor menyumbang kepada situasi ini.
Pertama, individu-individu yang dikaitkan dalam kes ini. Kedua, jumlah nilai kewangan yang terbabit.
Maka, isu ini mendapat media tempatan dan luar negara.
Ia menjadi lebih menarik kerana ini adalah kes terbesar dihadapi oleh negara khusus dalam era ledakan teknologi maklumat.
Sekiranya melihat kembali sejarah negara empat dekad lalu, kes BMF, Perwaja dan PKFZ masih segar dalam minda rakyat. Tetapi impak liputan media ketika ini tidak sehebat ketika era 1980-an dan 1990-an.
Di sebalik isu ini, aspek yang hendak disentuh kali ini, trend sebahagian kita 'jump the gun' dengan melemparkan pelbagai tohmahan ke atas pihak-pihak terbabit termasuk pasukan khas yang menyiasat kes 1MDB.
Ada yang tidak yakin dengan pasukan khas ini. Dakwa mereka, pasukan khas ini tidak akan menjalankan tugas dengan bebas dan profesional. Ada yang sindir "bukan Task Force" tetapi "Forced Task Force".
Pemimpin, wakil dan jurucakap hampir setiap parti memperlihatkan sikap yang sama. Fokus kenyataan mereka: mahu orang ini orang itu letak jawatan. Kononnya tidak percaya. Dakwa jawatankuasa ini pasukan petugas itu tidak bebas. Dikongkong atau dipengaruhi oleh pihak atasan.
Kenyataan seumpama ini bukan sahaja dilemparkan ke atas pasukan khas yang menyiasat kes 1MDB.
Kenyataan yang sama dilemparkan ke atas ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) yang turut menjalankan inkuiri berkaitan kes 1MDB.
Rata-rata kita berhadapan dengan segmen masyarakat termasuk pemimpin yang tidak percaya pada sistem yang kita sendiri bentuk.
Kita perlu membezakan antara orang yang disiasat dan mereka yang menyiasat. Perkara ini sangat jelas dalam kes 1MDB yang menjadi perhatian ramai sekarang.
Pasukan khas yang menyiasat 1MDB terdiri daripada Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Seorang lagi anggota ialah Peguam Negara yang turut bertindak sebagai Pendakwa Raya.
Anggota-anggota pasukan khas ini pernah menjalankan siasatan keatas pemimpin pembangkang dan pemimpin parti yang memerintah. Ada yang pernah didakwa. Ada yang tidak didakwa di mahkamah.
Bukankah ia menunjukan yang agensi yang sama bertindak dengan profesional. Ketika itu tiada pihak yang mempertikaikan kewibawaan dan profesionalisme agensi-agensi penguat kuasa ini.
Oleh itu, berfikirlah dengan rasional. Jangan bias.
Memang mudah bagi kita membuat kenyataan atau komen. Tetapi apakah kita berlaku tidak adil ke atas institusi yang kita bentuk untuk menjalankan fungsi sebagai agensi penguat kuasa.
Kita tidak wajar berlaku bias. Kita tidak wajar mempergunakan isu yang memihak atau menyebelahi kita.
Begitu juga dalam isu 1MBD.
Kita perlu beri ruang kepada pasukan khas ini menjalankan siasatan. Begitu juga PAC.
Kita bertindak dengan bias jika kita mempolitikkan setiap isu. Pemimpin politik perlu rasional dalam hal ini.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*V. Loganathan ialah pembaca AstroAwani.com.
**Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Astro AWANI.
#1MDB #Najib Razak #surat untuk pengarang
;