1MDB: SPRM tumpu siasatan ke atas SRC International - Paul Low

Hafiz Marzukhi
November 23, 2015 06:11 MYT
PAUL: Hasil perbincangan antara pihak SPRM dan Jho Low tidak akan didedahkan bagi mengelakkan ia menjejaskan siasatan. - Gambar Fail
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tertumpu kepada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu SRC International Sdn Bhd (SRC).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, perkara ini berlaku berikutan langkah Peguam Negara meletakkan siasatan terhadap syarikat pelaburan milik negara itu di bawah polis.
Berikutan itu katanya SPRM telah menghubungi peguam kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low, bagi menetapkan tarikh untuk menyoal siasatnya.
"Bagi siasatan SRC, SPRM sudah menghubungi peguam Jho Low untuk menetapkan tarikh bagi merekodkan keterangannya.
"Namun, hasil perbincangan itu tidak didedahkan bagi mengelakkan ia menjejaskan siasatan," kata Paul.
Paul berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi.
Ooi dalam soalannya telah bertanya apa yang dilakukan SPRM untuk menjejaki Jho Low bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.
Selain itu, Ooi turut bertanya mengapa pasport Jho Low masih belum dibatalkan bagi memastikan beliau pulang ke tanah air.
#1MDB #Dewan Rakyat #Jeff Ooi #Jho Low #Paul Low #SPRM #SRC