1MDB: Siasat individu sebar maklumat tidak sah - Gabem
Astro Awani
Mei 22, 2015 12:32 MYT
Mei 22, 2015 12:32 MYT
Pihak berkuasa perlu menyiasat mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan maklumat berhubung syarikat pelaburan strategik negara (1MDB) di laman sosial.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, golongan penyebar ini juga harus dipanggil sebagai saksi dalam prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara .
"Individu yang menyebar maklumat berkenaan 1MDB perlu dijadikan terma rujukan dalam siasatan. Mereka harus dipanggil untuk memastikan kesahihan berita yang di'viral'.
"Saya tahu rakyat mengharapkan mereka ini harus disiasat juga. Selama ini pihak ini tidak bertanggungjawab mendedahkan segala bukti dan maklumat yang dikatakan draf perjanjian melibatkan 1MDB, kini kita lihat sejauh mana realiti 'pemberitaan' mereka," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, 1MDB dilaporkan hanya akan menjawab sebarang persoalan mengenai isu berkenaan kepada Ketua Audit Negara dan PAC.
Dalam satu kenyataan 1MDB, syarikat itu memberitahu, mereka mengambil perhatian kepada setiap soalan yang ditimbulkan kepadanya di dalam media walaupun dilihat kekurangan bukti.
Sementara itu kata Abdul Rahim, bukti yang ada pada individu berkenaan perlu dijadikan bahan yang boleh disiasat kesahihannya.
"Sekiranya perkara itu pembohongan, pihak berkuasa harus mengambil tindakan sewajarnya agar perbuatan mereka dijadikan teladan untuk tidak dicontohi.
"Ia sekali gus akan menghalang perkara sama berulang pada isu lain agar negara tidak huru-hara oleh perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini," ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada semua pihak agar mendapatkan maklumat dari sumber yang sah seperti Ketua Audit Negara.
Najib berkata maklumat tidak sepatutnya diperolehi dari portal berita, pihak ketiga atau mana-mana blog yang mempunyai agenda tersembunyi.