1MDB: Siasat Arul Kanda secara terperinci - Khairuddin

Syafique Shuib
Februari 2, 2015 17:35 MYT
KHAIRUDDIN: Saya akan hantar satu memorandum kepada Gabenor Bank Negara mengenai isu pembayaran hutang 1MDB. -Foto Astro AWANI/Syafique Shuib
Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai kenyataan yang dibuat pada 13 Januari tentang pelaburan masuk berjumlah RM8.3 bilion.
Ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Khairuddin mahu siasatan secara rapi mengenai kenyataan dibuat oleh Arul Kanda.
"Sekiranya Arul Kanda berkata telah membawa pulang pelaburan sejumlah wang bernilai RM8.3 bilion, saya ingin tanya kenapa buat kali ketiga 1MDB telah tangguh pembayaran kepada Maybank dan RHB Capital berjumlah RM2 bilion?" kata Khairuddin.
Beliau turut anggap kenyataan Arul Kanda sebagai "tidak bertanggungjawab, mencurigakan dan berkemungkinan telah menipu seluruh rakyat Malaysia."
"Kalau ada RM8.3 bilion, kenapa hutang RM2 bilion tidak boleh dilunaskan," katanya lagi.
Sementara itu, Khairuddin juga akan menghantar satu memorandum kepada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar mengenai isu pembayaran hutang 1MDB.
"Saya nak minta satu penjelasan daripada Tan Sri Zeti kerana sebelum ini beliau berkata penangguhan yang diberikan kepada 1MDB bukan dibuat oleh Bank Negara tetapi dibuat oleh pihak bank komersial.
"Apa pendirian Bank Negara mengenai isu 1MDB. Kenapa ia tidak tegas terhadap 1MDB. Bagaimana bank komersial yang berada di bawah tadbir urus Bank Negara membenarkan penangguhan ketiga," tambah Khairuddin.
#1MDB #Arul Kanda Kandasamy #Balai Polis Dang Wangi #Khairuddin Abu Hassan #RHB Capital
;