1MDB: Shahrol Halmi akan dipanggil semula beri keterangan kepada PAC

Hafiz Marzukhi
November 25, 2015 08:52 MYT
Shahrol Halmi perlu memberikan maklumat kepada PAC sebelum keterangan didapatkan daripada Arul Kanda. - Gambar fail
Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Halmi akan dipanggil semula untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Isnin hadapan.
Keputusan ini diambil selepas PAC mendapati masih ada beberapa maklumat yang harus dimaklumkan kepada jawatankuasa terbabit sebelum Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berdepan PAC bagi memberi keterangan.
"PAC berpendapat bahawa siasatan perlu menyeluruh dengan memanggil semua saksi bagi memastikan Laporan Jawatankuasa yang dibentangkan adalah telus, menyeluruh serta adil," kata Pengerusinya, Datuk Hasan Arifin dalam satu kenyataan petang ini.
Berhubung prosiding hari ini, keterangan daripada Shahrol tertumpu kepada kawalan tadbir urus 1MDB bermula daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) sehingga penubuhan rasmi 1MDB pada September 2009.
"Selain itu, PAC juga mendengar keterangan Sharol berhubung penubuhan syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi," katanya.
Turut hadir untuk memberi keterangan adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Datuk Dr Mohd Isa Mohd Hussain mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar.
Ketua Perundangan 1MDB Ivan Chen turut menhadiri prosiding pada Rabu.
#1MDB #PAC #Shahrol Halmi