1MDB: Saya tidak pernah salah guna jawatan PM, Pengerusi BN dan Presiden UMNO - Najib
Astro Awani
Jun 14, 2016 17:46 MYT
Jun 14, 2016 17:46 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kedudukannya untuk mengganggu siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi pernyataan pembelaan terhadap kes saman yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib menafikan segala dakwaan kononnya wujud amalan rasuah.
"Saya tidak pernah menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi BN (Barisan Nasional) dan Presiden UMNO untuk meneruskan amalan rasuah seperti yang didakwa.
"Tidak wujud elemen salah laku dalam writ saman dan pernyataan tuntutan Plaintif-Plaintif yang mendakwa saya melakukan perbuatan salah laku berkaitan kes 1MDB dan dana RM2.6 bilion," katanya.
Pernyataan pembelaan itu difailkan oleh Najib di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui peguamnya, Datuk Hafarizam Harun semalam.
Kenyataan tersebut kemudiannya diserahkan kepada media hari ini.
Selain Dr Mahathir, dua individu lain yang turut bertindak sebagai plaintif di dalam kes saman tersebut ialah bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas anggota UMNO Langkawi, Anina Saadudin.
Ketiga-tiga mereka memohon pengisytiharan Najib melakukan perbuatan salah laku penjawat awam sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO dengan mengganggu siasatan mengenai salah laku kewangan berkaitan 1MDB serta siasatan derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadinya.