1MDB: 'Saya bersedia jadi penjamin tiada maklumat siasatan disembunyi' - Reezal
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 3, 2015 11:56 MYT
Ogos 3, 2015 11:56 MYT
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan kesediaannya untuk menjadi penjamin bagi memastikan tidak berlaku sebarang cubaan untuk menyembunyikan maklumat siasatan berhubung isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, adalah mustahil untuk melindungi sebarang maklumat berhubung siasatan itu kerana maklumat yang diterima semua anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah sama.
"Saya boleh beri keyakinan atas dasar transparency ini bahawa tidak mungkin ada sedikit pun ruang untuk berlaku penutupan atau 'covering up' untuk isu sensitif seperti 1MDB ini, sebab bila mana laporan audit dibentangkan secara interim baru-baru ini, semua ketahui saya ketahui tapi 'the amount of knowledge' (tahap pengetahuan) sama dengan parti pembangkang ketahui."
"Ini bermakna kebenaran berkaitan siasatan pasti diketahui ia tak mungkin dapat disembunyikan kerana strukutur berlakunya secara terbuka dan fast track, dan saya bagi jaminan kalau ada sebarang bentuk cubaan saya akan jadi guarantor (penjamin) walaupun saya bukan lagi ahli PAC sebab saya ada knowledge (pengetahuan).
"Saya akan pastikan tidak ada penyelewengan maklumat yang dibentangkan setakat mana yang saya dimaklumkan," katanya selepas majlis doa selamat dan kesyukuran sempena pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pelantikan empat anggota PAC menganggotai barisan Kabinet yang baru menerusi rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai, lepas.
Selain Reezal Merican, tiga lagi anggota PAC yang dilantik menganggotai Kabinet ialah bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai Menteri Sains Teknologi dan Invovasi.
Menurut Reezal Merican, PAC mempunyai struktur penyiasatan yang telus dan penubuhannya dibuat atas landasan keterbukaan serta tanpa sebarang keraguan.
"Ini berdasarkan seramai 14 individu yang menganggotai jawatankuasa itu," ujarnya.
Oleh itu, Reezal percaya, siasatan ke atas 1MDB masih dapat diteruskan, malah ia sama sekali tidak akan mengganggu siasatan selepas empat anggotanya dari BN dilantik menganggotai Kabinet.