1MDB: Rafizi akan buat laporan polis terhadap PM
Astro Awani
Mac 9, 2015 12:35 MYT
Mac 9, 2015 12:35 MYT
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dua lagi individu, Low Taek Jho dan Datuk Shahrol Halmi berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya Jho Low, seorang ahli perniagaan dan juga Shahrol, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB perlu disiasat kerana melanggar Akta Pengubahan Wang Haram dan pecah amanah.
"Lebih mengejutkan, dalam satu komunikasi dengan PetroSaudi, Jho Low secara berani menyatakan bahawa pemindahan wang dari PetroSaudi ke 1MDB tidak memerlukan kelulusan Bank Negara Malaysia yang secara jelas melanggar Akta Pengubahan Wang Haram.
"Ini menguatkan lagi saranan saya sebelum ini bahawa Jho Low dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Halmi telah terbukti melanggar Akta Pengubahan Wang Haram apabila memindahkan wang tanpa menyatakan siapa penerima akhir seperti yang terkandung di dalam email yang didedahkan oleh Sarawak Report," kata beliau yang juga Setiausaha Agung PKR dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Rafizi, persetujuan Najib dengan urusniaga 1MDB sebagaimana yang didakwa oleh laman Sarawak Report, telah turut mengundang kontroversi.
"Saya sendiri akan membuat satu laporan polis terhadap Jho Low, Datuk Shahrol Halmi dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari esok 10 Mac 2015 jam 3.00 petang di IPD Dang Wangi supaya kes ini dapat disiasat segera dengan bukti-bukti yang telah jelas," kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Jumaat lalu, Najib, atas kapasiti peribadinya telah memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dan seorang lagi berhubung isu 1MDB ini.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa pada 13 Nov tahun lepas, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP telah memberi ucapan berhubung isu 1MDB dan rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh defendan kedua sendiri dan/atau ejennya di laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat.
Sebelum itu, Najib juga telah mengarahkan Ketua Audit Negara, meneliti akaun syarikat milik kerajaan itu, berikutan laporan media terhadap syarikat itu baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau juga telah menggesa 1MDB dan juruaudit mereka Deloitte menghadap Kabinet.
Isu 1MDB menjadi hangat setelah syarikat yang milik penuh kerajaan itu dikatakan mengalami kerugian hampir RM38 bilion.
Bagaimanapun syarikat itu telah diberikan laporan bersih oleh juruaudit bagi penyata kewangan berauditnya bagi tahun 2010-2014 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata SSM telah menganalisis penyata kewangan 1MDB yang diserahsimpan dengan SSM.