1MDB: Putrajaya tersalah tafsir tentang aset Pulau Cayman - Ahmad Husni
Astro Awani
Mei 21, 2015 20:34 MYT
Mei 21, 2015 20:34 MYT
Putrajaya tersalah tafsir tentang baki pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Ahmad Husni berkata aset yang dibawa pulang dari Pulau Cayman dan disimpan di sebuah bank itu adalah dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.
"Saya rasa ini satu kesilapan, kesilapan dalam erti kata tafsiran apabila mereka (1MDB) mengatakan sudah menebus dan menyimpannya di sebuah bank di Singapura.
"Ia sebenarnya simpanan, ia dalam bentuk unit, ia disokong oleh dana kekayaan berdaulat.
"Jadi, kami harap untuk membawanya pulang secepat mungkin," kata Ahmad Husni seperti dipetik The Malaysian Insider.
Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa baki pelaburan itu telah ditebus dengan aset dan bukannya wang tunai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, baki pelaburan tersebut ditebus dalam bentuk aset mata wang US$ di BSI Bank Limited Singapore (BSI) Singapura.
“1MDB telah menjelaskan bahawa baki pelaburan yang telah ditebus oleh 1MDB adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang USD di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti USD syarikat.
“Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset tersebut," kata Najib di Parlimen pada Rabu.
Selain itu, katanya jawapan tersebut merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum bertarikh 10 Mac 2015, bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam dalam bentuk wang tunai.
Sebelum ini, Najib telah memberitahu bahawa baki dana pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority tersebut telah ditebus dalam bentuk wang tunai.
Menurutnya, dana tersebut masih disimpan dalam mata wang US Dolar di BSI yang bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.