1MDB: Prestasi kewangan 1MDB 'kurang memuaskan', tadbir urus lemah - PAC

Astro Awani
April 7, 2016 11:20 MYT
Laporan Kawan Pengurusan Tadbir Urus mengenai 1MDB yang ditunggu-tunggu, dibentangkan oleh PAC di Dewan Rakyat hari ini. - Gambar fail
Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat strategik itu 'kurang memuaskan'.
Dapatan itu menjurus kepada kelemahan tadbir urus syarikat pelaburan negara berkenaan.
Dalam laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, ia antara lain mencadangkan agar siasatan turut dilakukan ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC memberitahu syarikat itu bergantung kepada hutang dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk, sebagai modal syarikat, dengan sebahagian hutang tersebut mendapat jaminan kerajaan atau surat sokongan kerajaan.
"Tahap hutang dan pembayaran faedah terlalu tinggi berbanding aliran tunai syarikat.
"Oleh itu, 1MDB bergantung kepada pembiayaan semula sebagai pembayaran balik hutang matang, dan mengambil hutang baharu, antara lain untuk pembayaran faedah hutang sebelumnya," sebut laporan itu.
Tambah laporan berkenaan, model perniagaan 1MDB yang terlalu bergantung kepada pinjaman menyebabkan syarikat tersebut tidak mendapat pendapatan yang cukup untuk membiayai pinjaman serta kos operasinya.
Siasatan PAC turut menekankan bahawa Lembaga Pengarah 1MDB tidak ambil tindakan sewajarnya untuk meneliti aktiviti pengurusan dan aliran tunai hadapan syarikat.
"Isu 1MDB ini menjadi pengajaran buat syarikat-syarikat milik kerajaan ( LC) tentang kepentingan tadbir urus yang cekap dan berintegriti," sebut laporan itu.
PAC telah memulakan siasatan ke atas 1MDB pada 19 Mei tahun lepas, dan menumpukan kepada pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB sejak diperbadankan pada 2009, lanjutan daripada dana negeri Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu dijadikan agensi pusat.
1MDB memulakan visinya untuk menjadi pemangkin dan perangsang pelaburan langsung asing, selain menjalankan cabang perniagaan berbeza untuk kerajaan.
BACA: Kerajaan tidak bercadang bubar 1MDB - Kementerian Kewangan
BACA: Hanya dokumen sokongan dari Jabatan Audit Negara iringi laporan PAC bawah OSA
BACA: 1MDB nafi sebabkan kelewatan bayaran kepada anggota tentera
#1MDB #laporan 1MDB #PAC #prestasi kewangan #urus tadbir
;