1MDB: Permohonan kebenaran semakan kehakiman ditetapkan 18 Nov

Bernama
September 6, 2016 07:53 MYT
Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman ini.
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 18 Nov depan untuk pendengaran bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Muhammad Zahid Md Arip terhadap keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh itu selepas pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan membangkitkan bantahan awal dengan alasan permohonan itu remeh dan menyusahkan mahkamah.
Suzana, mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Audit Negara dan Kerajaan Malaysia selaku responden.
Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Irzan Iswatt Mohd Noor yang bertindak bagi pihak Muhammad Zahid.
Suzana yang ditemui pemberita berkata permohonan Muhammad Zahid itu tidak membuktikan beliau mempunyai locus standi untuk memfailkan semakan kehakiman itu kerana tidak mempunyai kedudukan yang sah di sisi undang-undang.
"Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman ini," katanya di sini hari ini.
Pada 5 Ogos lalu, Muhammad Zahid memfailkan permohonan semakan ex-parte (sebelah pihak) berkenaan melalui Tetuan Haniff Khatri di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi.
Dalam penyataan tuntutannya, anggota UMNO seumur hidup cawangan Sungai Udang, Melaka itu memohon perintah membatalkan keputusan responden yang memutuskan untuk tidak mengubah status laporan itu walaupun selepas Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dibentangkan di Parlimen pada 7 April lalu.
Pemohon turut menuntut perintah membatalkan keputusan responden yang menyerahkan kepada PAC untuk membuat keputusan sama ada untuk mengubah status laporan itu dan membentangkan kepada Dewan Rakyat.
Turut dimohon ialah perintah bagi mewajibkan responden dengan serta merta mengemukakan Laporan Akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB kepada pihak berwajib.
#1MDB #Hanipah Farikullah #Mahkamah Tinggi #Muhammad Zahid Md Arip #Najib Tun Razak