1MDB: Perbicaraan ditangguh, Najib alami hematoma selepas pembedahan mata

Hasimi Muhamad
Mei 24, 2021 10:59 MYT
Muhammad Shafee memberitahu Najib mengalami hematoma susulan pembedahan mata Khamis lalu dan diberikan cuti sakit selama tujuh hari. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menangguhkan perbicaraan kes berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan tidak sihat.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan sidang pagi itu setelah dimaklumkan oleh peguam bela utama kes, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Najib sedang cuti sakit (MC) selepas menjalani pembedahan mata pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee memberitahu Najib mengalami hematoma (bengkak dan pandangan kabur) susulan daripada pembedahan tersebut.
Jelas Muhammad Shafee lagi, Najib diberikan cuti sakit selama tujuh hari dan berharap hematoma yang dialami oleh Najib beransur sembuh.
"Walau bagaimanapun Yang Arif, berlaku pembentukan hematoma seperti yang biasanya dijangka (selepas pembedahan).
"Saya tidak mahu memberitahu mahkamah terlebih awal walaupun anak guam saya mendapat cuti sakit pada Khamis selama tujuh hari.
"Alasannya kerana kita berharap ia akan reda semalam dan anak guam saya boleh datang hari ini.
"Bagaimanapun, semalam hematomanya menjadi semakin teruk.
"Saya akan memberikan Yang Arif salinan surat daripada doktor," katanya memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Muhammad Shafee juga memberitahu mahkamah bahawa pandangan Najib sedikit kabur termasuk mengambil contoh anak guamnya tidak berupaya untuk menandatangani cek.
Collin walau bagaimanapun berkata Najib hanya perlu duduk dan tidak perlu membaca atau melakukan apa-apa.
Hakim membenarkan penangguhan selama satu hari dan mengarahkan Najib untuk hadir prosiding pada 9.30 pagi, Selasa.
"Mungkin kita boleh cuba (prosiding) esok. Beliau diberikan rehat hari ini dan esok kita cuba....
"Mengapa tidak kita datang di sini, berjumpa seperti biasa esok, dan sekiranya hematoma beliau bertambah baik, kita akan teruskan prosiding," kata Collin.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
#Najib Razak #1MDB #prosiding ditangguh #hematoma #1Malaysia Development Berhad #Muhammad Shafee Abdullah #mahkamah #penyelewengan dana #Collin Lawrence Sequerah
;