1MDB: Pengkritik memang tidak pernah berpuas hati - Salleh Said

Suganthi Suparmaniam
Ogos 4, 2015 14:05 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak berkata pengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan pernah berpuas hati. - Gambar Fail
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak berkata pengkritik yang sering melontarkan kritikan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan pernah berpuas hati dengan apa jua pendirian kerajaan.
“Mereka akan tuntut anda lakukan apa yang mereka mahu, dan bila anda lakukannya, mereka masih tidak akan gembira,” tulisnya dalam catatan blognya yang terbaharu.
Menurut Salleh, pada mulanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dituduh mengambil wang sebanyak RM2.6 bilion menerusi dana 1MDB dan menyalurkan wang tersebut ke akaun peribadinya.
Pengkritik yang ingin mengetahui senario sebenar mula menjadi marah apabila Najib didakwa tidak mempedulikan permintaan mereka.
“Sebenarnya, apa sahaja yang dikatakan oleh Najib memang tidak akan memenuhi permintaan mereka yang dahagakan penjelasan,” kata Salleh Said.
Beliau berkata, Najib mengambil tanggungjawab mengarahkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap 1MDB.
“SPRM kemudiannya mengumumkan bahawa duit tersebut bukannya dari akaun 1MDB tetapi dari dana penderma. Itu yang mereka ingin tahu dan SPRM telah pun mengesahkan perkara ini,” katanya lagi.
Salleh Said turut berkata, pengkritik turut mempersoal integriti SPRM dalam siasatannya terhadap 1MDB.
"Kini, mereka bertanya mengapa SPRM mengambil masa yang begitu lama untuk mengesahkan bahawa wang tersebut bukan dari 1MDB dan mengapa ia tidak boleh disahkan sejak awal lagi.
Tambahnya lagi, sesetengah pengkritik turut mempertikaikan derma yang disalurkan dengan syarat kerana jumlah sumbangan itu membabitkan jumlah yang tinggi.
“Jadi apa isunya sekarang? Bukankah mereka patut rasa gembira sebab duit tersebut tidak datang dari 1MDB? Ini yang mereka nak tahu dan SPRM telah pun mengesahkan. Kalau Najib beritahu derma tersebut diberikan tanpa syarat, adakah mereka akan percaya?” kata Salleh Said.
Pada Isnin, SPRM menyatakan bahawa dana sebanyak RM2.6 bilion yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib merupakan wang derma untuk kempen dan bukan dari akaun 1MDB.
SPRM turut menyatakan bahawa pengesahan tersebut berdasarkan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd (salah satu entiti 1MDB) dan menambah bahawa laporan siasatan berkaitan pemindahan wang tersebut telah dirujuk kepada Peguam Negara.
#1Malaysia Development Berhad #Salleh Said Keruak #Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
;