1MDB: Pendedahan laporan kepada umum perlu prosedur sebenar - Irmohizam

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Julai 27, 2015 13:09 MYT
IRMOHIZAM: Sebarang pendedahan laporan 1MDB kepada umum perlu melalui prosedur sebenar.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim berkata isu berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemaslahatan dalam parti akan dibincangkan dalam mesyuarat Majis Tertinggi (MT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Jumaat ini.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad malam, Irmohizam berkata sebarang pendedahan kepada umum perlu melalui prosedur sebenar.
“Siasatan masih lagi dijalankan petugas dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), maka tidak adil sekiranya ia didedahkan sedangkan siasatan masih berlangsung,” ujarnya yang ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Puchong pada Isnin.
Muhyiddin semasa ucapan penggulungan mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur semalam, ada menyarankan agar laporan awal 1MDB dijadikan dokumen awam.
Menurutnya, langkah itu perlu agar masyarakat memahami apa yang disebalik kontroversi syarikat tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dijadual mengadakan taklimat tertutup bersama semua ketua bahagian dari seluruh negara pada petang Jumaat ini sebelum mesyuarat MT berlangsung.
Sementara itu, ketua-ketua bahagian UMNO yang dihubungi Astro AWANI mengesahkan menerima jemputan mesyuarat bersama Najib yang dijadual berlangsung pada petang 31 Julai ini.
#1MDB #Irmohizam Ibrahim #laporan #Muhyiddin Yassin #PAC #UMNO
;