1MDB: Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa, polis siasat laporan Sarawak Report

Astro Awani
Mei 10, 2015 18:52 MYT
Pemuda UMNO mahu membantu pemimpin parti untuk memulih imej parti yang tercalar kerana transaksi 1MDB.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah membuat laporan polis berdasarkan laporan di dalam laman web Sarawak Report mengenai transaksi syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Laporan polis yang dibuat oleh Pengerusi Biro Media Sosial Pemuda UMNO Ibdilillah Ishak itu antaranya menggesa pihak berkuasa atau polis untuk melakukan siasatan dengan serta merta terhadap laporan Sarawak Report yang bertarikh 28 Februari.
Laman web itu dikatakan mendapat ribuan dokumen dan emel berkenaan transaksi serta akses eksklusif salinan perjanjian usahasama bertarikh 28 September 2009 antara syarikat 1MDB dan syarikat PetroSaudi.
"Jika tiada keterangan yang dapat menunjukkan mereka melakakukan apa-apa kesalahan, pihak Pemuda UMNO menggesa siasatan terhadap Sarawak Report atas kesalahan memfitnah dan mengambil tindakan untuk menutup laman web tersebut dengan serta merta," kata laporan itu.
BACA: Cubaan penggodam profesional untuk ceroboh Sarawak Report
Antara kandungan lain di dalam laporan polis itu adalah agar pihak berwajib membuka siasatan menyeluruh ke atas tuduhan penglibatan Low Taek Jho, atau Jho Low, penama yang disebut di dalam Sarawak Report sebagai pemangkin transaksi usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi.
“Pemuda UMNO juga berharap agar siasatan juga dibuat ke atas penglibatan Pengurusan Tertinggi 1MDB dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB sejak penubuhan sehingga hari ini sekiranya mereka terlibat dengan apa-apa bentuk penyelewengan atau melanggar mana-mana undang-undang yang terpakai dalam Malaysia,” kata laporan itu.
Pemuda UMNO turut berkata dalam laporan itu jika sekiranya ada bukti yang berkait dengan elemen jenayah, ia minta tindakan tegas dan segera diambil tanpa prejudis.
READ: "Jho Low, kalau berani pergi jumpa PAC sekarang" - Reezal Merican
Bagi memberi penjelasan tentang laporan polis yang dibuat, Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata ia adalah usaha pergerakan itu sendiri untuk memulihkan imej parti itu dan membantu kepimpinan membersihkan imej dan nama parti yang tercalar oleh transaksi 1MDB itu.
“Kita telah mendapati sekian lama tiada langsung jawapan datang daripada pihak yang sepatutnya seperti pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1MDB sendiri melainkan apa yang dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita berpandangan sepatutnya mereka-mereka yang kita telah sebut dalam laporan tampil ke hadapan untuk membuat penjelasan,” kata Khairul Azwan yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia kepada Astro AWANI di ibu pejabat pergerakan itu di Menara Dato' Onn.
Beliau percaya dengan laporan ini pihak polis dan pihak berkuasa akan menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
READ: Kenapa Jho Low kata pemimpin UMNO 'kaki putar'? - Ibdilillah
“Semoga dengan tindakan pantas pihak polis, Pemuda UMNO yakin ia dapat membersihkan imej parti UMNO dan kerajaan yang tercalar. Tanggungjawab ini kita ambil sempena meraikan ulang tahun UMNO ke-69 pada hari Isnin,” tambahnya.
Turut hadir di ibu pejabat Pemuda UMNO adalah Ibdilillah dan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz.
#1MDB #Ibdilillah Ishak #Jho Low #Khairul Azwan Harun #Mohamad Sahfri Ab. Aziz #Pemuda UMNO #UMNO
;