1MDB: PDRM rampas, sita aset Jasmine Loo bernilai lebih RM93.2 juta - Ayob Khan

Fareez Azman
September 4, 2023 17:55 MYT
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kesemua aset dan hartanah yang dirampas itu bernilai lebih RM93.2 juta. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Polis merampas dan menyita sebahagian aset termasuk hartanah milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang dipercayai hasil daripada penyelewengan wang syarikat pelaburan itu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, kesemua aset terbabit dianggarkan bernilai lebih RM93.2 juta.
"Antara yang dirampas atau disita ialah sebuah kondominium di One Madison Park, Amerika Syarikat bernilai RM21 juta, dan sembilan lukisan bernilai RM8.1 juta termasuk yang disimpan di Switzerland dan New York.
"Selain itu, akaun RM23 juta... serta di London, sebuah kondominium bernilai RM12 juta. Kita turut sita jam tangan jenama Richard Milles, jam tangan Hendry Winston, 13 tas tangan pelbagai jenama, satu tas gelang tangan dan pelbagai dokumen.
"Sementara aset di Singapura, pihak PDRM telah mengenal pasti dua kondominium miliknya masing-masing bernilai 1.3 juta dan 2.5 juta dolar Singapura. Kita juga kenal pasti akaun kredit di Singapura berbaki 4 juta dolar Singapura.
"Semua aset itu kini dalam simpanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM.
"Nilai keseluruhan aset dan hartanah kita rampas adalah RM93.2 juta. Ini nilai semasa pembelian pada tahun 2013, jadi jumlahnya mungkin lebih tinggi sekarang ini," jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin.
Mengulas lanjut ujar Ayob Khan, Jasmine mengesahkan pemilikan aset dan hartanahnya di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura dan telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk mengembalikan aset kepada 1MDB.
"Siasatan telah dibuat di bawah Seksyen 45 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001," katanya.
Jasmine yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat 1MDB.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.
Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021 manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.
#1MDB #Jasmine Loo #ayob khan mydin pitchay #sita aset
;