1MDB: PDRM kesan dokumen, saksi di luar negara untuk bantu kes Tawfiq
Bernama
Mac 4, 2022 16:21 MYT
Mac 4, 2022 16:21 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan dan mengenal pasti beberapa dokumen serta saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan kes melibatkan suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Dr Tawfiq Ayman berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya telah berhubung dengan negara terbabit, namun masih belum menerima maklum balas yang diperlukan.
"Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, namun kita mendapat arahan untuk mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terlibat," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Mohd Kamarudin pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan keterangan saksi serta dokumen berkaitan, sebaliknya perlu menunggu lampu hijau dari negara berkenaan.
Kenyataan itu dibuat selepas bekas pengerusi syarikat perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner memberi keterangan ketika perbicaraan terhadap bekas pegawainya Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.
Leissner dilaporkan menyebut penglibatan Tawfiq dalam projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.
-- BERNAMA