1MDB: PAS desak penubuhan Suruhanjaya Diraja

Astro Awani
Julai 21, 2016 03:45 MYT
IDRIS: Suruhanjaya itu perlu dianggotai pakar yang berautoriti dan berkecuali termasuk 'ulamak yang pakar dalam bidang perundangan, ekonomi dan kewangan Islam. - Gambar fail
PAS mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pendedahan Peguam Negara Amerika Syarikat yang menyatakan wujud penyelewengan melibatkan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata suruhanjaya itu perlu dianggotai pakar yang berautoriti dan berkecuali termasuk 'ulamak yang pakar dalam bidang perundangan, ekonomi dan kewangan Islam.
"Maka PAS menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes yang semakin mendapat perhatian umum dalam dan luar negara ini.
"Kita berharap Suruhanjaya ini akan dapat menyelesaikan kes ini yang sudah bertahun-tahun menjadi polemik." katannya dalam kenyataan.
Tindakan itu selaras dengan prinsip Islam dan terma universal iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
BACA: 1MDB nafi disaman DOJ
BACA: Dakwaan ke atas 1MDB serangan bermotif politik - Salleh Said Keruak
Dalam masa yang sama, PAS juga menolak campur tangan asing dalam urusan negara ini dan berharap Suruhanjaya ini akan dapat menyelesaikan kes ini yang sudah bertahun-tahun menjadi polemik.
Dalam pada itu Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata sudah tiba masanya Perdana Menteri untuk berterus terang mengenai skandal melibatkan 1MDB.
"Beliau juga tidak boleh lagi berpura-pura yang skandal ini tidak memalukan negara." katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, langkah Washington ini dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha mereka "menentang rasuah global" demi memastikan AS tidak menjadi "tempat selamat buat mereka yang menggunakan dana awam demi kepentingan peribadi".
Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch berkata pegawai-pegawai 1MDB memperlakukan dana pelaburan negara itu seperti "akaun bank peribadi" mereka dan "menyonglap berbilion dollar dari rakyat Malaysia".
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengambil tindakan undang-undang untuk menyita hartanah bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB yang merupakan sebahagian daripada AS$3.5 bilion yang dilarikan dari institusi itu dalam salahlaku pecah amanah.
#1Malaysia Development Berhad #PAS mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pendedahan Peguam Negara Amerika Syarikat yang menyatakan wujud penyelewengan melibatkan syarikat pelaburan strategik