1MDB: PAC hanya siasat urus tadbir syarikat secara keseluruhan - Nur Jazlan

Khairunnisa Kasnoon
Jun 24, 2015 18:13 MYT
Nur Jazlan berkata PAC hanya menyiasat urus tadbir syarikat itu secara keseluruhan. - Gambar Fail
Penangkapan bekas Eksekutif Teknologi Maklumat daripada PetroSaudi International yang membocorkan maklumat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan menjejaskan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini kerana PAC hanya menyiasat urus tadbir syarikat itu secara keseluruhan.
“Penangkapan bekas pegawai IT tersebut tidak menjejaskan siasatan PAC kerana syarikat tersebut menyiasat urus tadbir keseluruhan. Sebarang salah laku hanya sebahagian dari skop urus tadbir,” jelasnya melalui dalam satu mesej kepada Astro AWANI, pada Rabu.
BACA:
1MDB: Siasatan awal bekas kakitangan Petrosaudi bukti e-mel bocor telah dipinda
1MDB: Bekas eksekutif IT PetroSaudi ditahan polis Thailand
“Kerja utama PAC adalah untuk menganalisa sebarang maklumat dan memanggil saksi untuk memberi keterangan untuk mengesahkan kesahihan maklumat tersebut,” jelasnya.
Sebarang salah laku hanya sebahagian dari skop urus tadbir
Katanya, rangka siasatan awal PAC telah ditetapkan dan diteruskan sehingga jawatankuasa cukup maklumat dan yakin untuk mengeluarkan laporannya.
1MDB dalam satu kenyataan menyatakan, siasatan awal ke atas bekas pekerja PetroSaudi yang ditahan di Thailand itu menunjukkan beberapa email yang dibocorkan telah diubahsuai.
Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Diraja Thailand menahan Xavier Justo dirumahnya di sebuah pulau di negara itu atas dakwaan cubaan memeras ugut PetroSaudi International.
Beberapa buah komputer, pemacu cakera keras dan bahan bukti lain dirampas selepas waran tangkap dikeluarkan. Siasatan lanjut sedang dijalankan.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Deloitte #Nur Jazlan #PAC
;