1MDB: 'Najib, tolonglah dengar nasihat Muhyiddin' - Syed Ali
Astro Awani
Mei 22, 2015 08:21 MYT
Mei 22, 2015 08:21 MYT
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee melahirkan kekecewaannya kerana Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mendengar nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memecat semua ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tegasnya, ini merupakan masa terbaik untuk perdana menteri mempertimbangkan saranan timbalan perdana menteri agar semua siasatan berkenaan 1MDB dapat dibuat dengan telus dan tiada pertikaian susulan.
"Najib kini tersepit kerana dakwaan penyelewengan 1MDB yang bernilai bilion ringgit.
"Apa yang dikatakan Muhyiddin itu benar belaka, hanya itu cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan. Tolonglah pandang serius isu ini, jangan biarkan rakyat bersedih," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Pada Khamis Muhyiddin mengesahkan bahawa telah memberitahu Najib untuk memecat semua ahli lembaga pengarah 1MDB.
Muhyiddin berkata demikian semasa mengulas tentang video semasa pertemuan tertutup dengan ahli UMNO yang disebarkan sebuah blog.
Syed Ali juga menjelaskan sudah menyuarakan pendapat sama seperti Muhyiddin sejak beberapa minggu lalu.
Dalam pada itu katanya, polis seharusnya segera menyiasat peranan serta penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low di dalam 1MDB.
"Banyak bukti yang dikenal pasti daripada kertas laporan yang menunjukkan penglibatan syarikatnya dalam pergerakan kewangan 1MDB.
"Jho Low harus segera disiasat sekali gus membuktikan ketulusan kerajaan untuk mendengar gesaan rakyat agar isu ini segera diselesaikan," ujarnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencabar Jho Low tidak menjadi bacul selain segera pulang ke negara ini untuk berdepan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Kata Reezal, Jho Low turut diminta berani berhadapan media secara terbuka dan mempertahankan diri apabila diasak soalan yang bakal ditanyakan wartawan.