1MDB: Najib kawal akaun peribadi untuk politik - Hakim

Sinar Harian
Oktober 30, 2024 19:00 MYT
Najib ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu merumuskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas perbelanjaan akaun peribadinya, AmBank untuk kepentingan politiknya.
Ketika membaca keputusan penghakiman di akhir kes pendakwaan dalam bahasa Inggeris hampir dua jam bermula 9.24 pagi, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, ia berdasarkan keterangan Najib, 71, mengikut Seksyen 53 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, ia tidak berada di bawah penguasaan bekas CEO 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil; bekas Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias atau ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ketika ‘Peristiwa 916’ (pada 16 September 2008) beliau berkata, terdapat keperluan bagi Najib untuk mencari dana politik bagi mengelakkan mana-mana ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN) melompat parti, sekali gus menyebabkan beliau kehilangan kuasa politik.
Katanya, tertuduh mengaku dana-dana itu kemudiannya dihantar dan dikeluarkan kepada pelbagai pihak, yang mana ia menjadi sebahagian daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
“Pengakuan Najib menguatkan lagi keterangan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan bahawa 1MDB dimulakan untuk dana politik BN.
“Keterangan bekas Pegawai Khas tertuduh, Datuk Amhari Efendi Nazarudin juga mengulangi fakta bahawa 1MDB digunakan untuk tujuan yang sama,” katanya.
Selepas skandal 1MDB didedahkan secara meluas pada tahun 2015, hakim ini berkata, dua individu dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Dua lelaki itu ialah bekas Pengerusi syarikat strategik Negara itu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan SP9, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Bagaimanapun, hakim ini berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan ini tidak membuat sebarang laporan polis membabitkan insiden yang berlaku.
Katanya, ia dikuatkan dengan keterangan saksi pendakwaan (SP) ke-49, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin, 37, bahawa agensi itu tidak pernah menerima sebarang aduan daripada Najib atau pegawainya berhubung salah laku berkenaan.
Beliau berkata, Amhari yang juga SP8 turut mengesahkan tidak menerima arahan daripada Najib untuk membuat laporan terhadap pihak berkuasa mahu pun bank.
Pada Rabu, Najib diperintah bela diri atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.
Hakim, Collin memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Dalam prosiding ini, Najib diwakili barisan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustafa P Kunyalam.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Presiden UMNO ini didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.
Ia membabitkan 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.
Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.
Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian
#1MDB #Najib Razak #keputusan mahkamah #dana politik #terkini
;