1MDB: Mana mungkin bangkai gajah ditutup dengan nyiru - Mahfuz Omar

Astro Awani
Jun 14, 2015 18:58 MYT
MAHFUZ: Amat memalukan seandainya Parlimen terus dimalukan dengan jawapan bohong lagi mengelirukan yang diberikan oleh pihak kerajaan hanya demi menutup malu - Foto Fail
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan mengapa isu syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu.
Beliau turut menyokong gesaan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed agar audit dilakukan segera ke atas akaun 1MDB.
“1MDB usahlah berdolak-dalik dalam hal ini kerana ia akan menampakkan seolah-olah 1MDB ingin menyembunyikan sesuatu daripada umum.
“Saya menyokong sepenuhnya gesaan yang dibuat oleh Nur Jazlan agar Kementerian Kewangan mengarahkan penyata kewangan 1MDB yang berakhir 31 Mac 2015 diaudit dengan segera oleh juruauditnya, Deloitte & Co. Adakah 1 MDB juga berhasrat untuk melantik juruaudit yang baru menggantikan Deloitte & Co. ?" katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahfuz turut menggesa penjelasan dibuat berkenaan simpanan unit di Bank BSI Singapura.
“Saya juga mendesak 1MDB memperjelaskan berkenaan simpanan ‘unit’ di BSI Bank Singapura?
“Amat memalukan seandainya Parlimen terus dimalukan dengan jawapan bohong lagi mengelirukan yang diberikan oleh pihak kerajaan hanya demi menutup malu dan kesilapan yang dilakukan oleh 1MDB. Ingatlah kata pepatah, mana mungkin bangkai gajah ditutup dengan nyiru,” katanya.
Isu 1MDB menjadi hangat setelah syarikat yang milik penuh kerajaan itu dikatakan mengalami kerugian hampir RM42 bilion.
#1MDB #Mahfuz Omar
;