1MDB: KPMG lunaskan tuntutan RM333 juta, antara penyelesaian terbesar di Asia Tenggara - MoF
Firdaus Azil
September 16, 2021 19:02 MYT
September 16, 2021 19:02 MYT
PUTRAJAYA: Firma pengauditan KPMG hari ini bersetuju untuk membayar semula RM333 juta bagi memenuhi tuntutan berkaitan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara tahun 2012 hingga 2021.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyelesaian tersebut sekali gus mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai 2021 terhadap KPMG.
Selain itu, ia mempercepat penyelesaian tersebut, yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB yang tertunggak, serta menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.
“(Penyelesaian) ini membuktikan tekad Kerajaan Malaysia untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB, dan entiti berkaitan dengannya.
“Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, di dalam skim global 1MDB ini,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan media yang sama.
Dalam pada itu MOF berkata, penyelesaian dengan KPMG, bernilai lebih dari 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, dan ia merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.
Kementerian berkata, penyelesaian itu bagaimanapun tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, atau pihak lain yang berkaitan dengannya, termasuk yang masih diburu pihak berkuasa berhubung skandal kewangan 1MDB.
“Kementerian Kewangan ingin mengucap terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguatkuasa yang terlibat atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini,” menurut kenyataan itu lagi.