1MDB komited untuk bekerjasama dengan Bank Negara

Bernama
Mac 23, 2016 22:16 MYT
1MDB menekankan, ia telah, sejak 12 bulan lepas, memberi kerjasama sepenuhnya setakat mana mungkin terhadap penyiasatan BNM, termasuk menyediakan bukti dokumen jika ada. -Gambar fail
1Malaysia Development Bhd (1MDB) komited untuk meneruskan kerjasamanya dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan akan menyediakan maklumat lanjut yang mungkin diperlukan bank pusat tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, 1MDB menekankan, ia telah, sejak 12 bulan lepas, memberi kerjasama sepenuhnya setakat mana mungkin terhadap penyiasatan BNM, termasuk menyediakan bukti dokumen jika ada.
Ia mengulas kenyataan yang dibuat Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengenai tindakan pentadbiran yang akan diambil terhadap 1MDB dalam tempoh baki perkhidmatan beliau selama 38 hari lagi dengan bank itu.
"1MDB belum lagi menerima sebarang surat rasmi atau pengesahan dari BNM berhubung perkara berkenaan yang diumumkan Gabenor hari ini.
"Oleh itu kami tidak boleh mengulas lanjut perkara tersebut," menurut 1MDB.
Terdahulu, hari ini, 1MDB menyelesaikan penjualan aset globalnya di bawah Edra Global Energy kepada CGN Group.
"Kami percaya pencapaian penting ini dan pengurangan hutang berkaitan tidak akan dibayangi oleh ulasan yang dibuat Gabenor BNM.
"Seterusnya kami menekankan bahawa 1MDB kekal fokus kepada pelan rasionalisasinya, manfaat positif yang diulas oleh agensi penarafan Moody's hari ini," menurut 1MDB.
#1Malaysia Development Bhd #1MDB #Bank Negara Malaysia #BNM #gabenor bnm #Zeti
;