1MDB: Kita hanya buat komitmen RM1 juta - Najib
Astro Awani
Januari 21, 2015 07:37 MYT
Januari 21, 2015 07:37 MYT
Kerajaan memaklumkan hanya membuat komitmen berbentuk saham sebanyak RM1 juta untuk syarikat pembangunan strategik milik penuhnya,1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, komitmen itu bagaimanapun kini sudah mempunyai aset bernilai RM50 bilion.
"Memang benar syarikat itu mempunyai hutang yang besar, namun jika dibandingkan antara aset dan liabiliti, asetnya jauh lebih baik berbanding liabiliti," katanya katanya ketika ditemu bual dalam rancangan terbitan salah satu stesen televisyen negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sebelum ini berkata, keputusan penuh tahunan untuk 12 bulan 1MDB yang berakhir pada 31 Mac tahun lepas membuktikan tahun yang produktif untuk kumpulan di mana ia memperoleh beberapa aset tenaga dan hartanah berkualiti tinggi untuk portfolionya yang semakin berkembang.
Kata Ahmad, kumpulan mencatatkan kerugian berjumlah RM665.3 juta untuk tahun kewangan 2014, sebahagian besarnya berpunca daripada kos pembiayaan yang lebih tinggi berjumlah RM2.4 bilion, berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan sebelum ini membuat laporan polis terhadap 1MDB berkaitan pentadbiran kewangan syarikat itu.
Khairuddin berkata siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.
Dalam pada itu kata Najib, keadaan akan berubah tidak lama lagi berikutan syarikat itu telah membuat keputusan selangkah ke hadapan dengan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada suku kedua tahun ini untuk aset-aset loji jana kuasanya.
Dana daripada IPO itu akan membantu mengurangkan kira-kira US$12 bilion (US$1=RM3.62) hutang, selain meluaskan perniagaan syarikat.
Najib berkata IPO berkeupayaan menarik pelabur asing dan tempatan.
"Bila IPO diterbitkan nanti, dalam keadaan pasaran yang mudah-mudahan positif, sudah tentu kita akan dapat menarik pelaburan yang besar dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam syarikat tenaga yang dimiliki 1MDB.
"Di samping itu, 1MDB ada tanah yang besar, seluas 550 ekar (222.58 hektar) di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, dan nilainya juga besar.
"Saya masih yakin terhadap lembaga pengarah, dengan kepimpinan yang ada, lebih-lebih lagi yang baharu, 1MDB akan memberi banyak manfaat kepada negara kita dalam jangka panjang," katanya.