1MDB kesal atas laporan berita mengenai transaksinya
Bernama
Julai 11, 2015 16:20 MYT
Julai 11, 2015 16:20 MYT
1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini menyuarakan kebimbangan dan kekecewaannya ke atas beberapa artikel dalam akhbar harian yang berasaskan pendapat 'penyiasat' yang tidak dinamakan, dengan merujuk kepada transaksi tertentu yang dijalankan oleh syarikat itu.
Dalam satu kenyataan, ia berkata 1MDB kesal dengan pendapat yang tidak berasas ini, yang didakwa sebagai betul dalam laporan berita, ketika pelbagai pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas syarikat itu dan belum membuat sebarang keputusan.
Ia memetik contoh laporan yang menyebut 'malah aset yang hendak dijual tidak boleh dijual dengan mudah.'
"Ini jelas salah memandangkan nota penyata kewangan 1MDB pada 30.03.2014 yang telah diaudit sepenuhnya oleh Deloitte, menyatakan bagaimana US$1.22 bilion (kira-kira RM 4.6 bilion) aset berkenaan yang pada hakikatnya sudah dijual dan keuntungan tunai sudah digunakan," katanya.
Mengenai dakwaan bahawa 'tidak ada dokumen berkaitan kewujudan aset dan penilaian ke atas PetroSaudi Holdings (Cayman)", 1MDB berkata ia tidak tepat memandangkan laporan penilaian sudah disediakan semasa pelaburan dibuat, dan laporan yang sama dikemukakan kepada pihak berkuasa dan disemak oleh pihak berkuasa perundangan.
Dalam kenyataan itu 1MDB berkata ia memberi kerjasama penuh ke atas siasatan semasa.
"Kami yakin langkah bersesuaian akan diambil oleh pihak berkuasa untuk memastikan integriti siasatan berkenaan," katanya.