1MDB: 'Kenapa PAC berkompromi dengan Arul Kanda?' - Khairuddin

Wan Syamsul Amly
Mei 26, 2015 14:13 MYT
KHAIRUDDIN: Kenapa PAC berkompromi dengan Arul Kanda? -Gambar fail
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilihat sengaja berkompromi dengan Presiden Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dengan membenarkan Pengarah 1MDB itu menangguhkan prosiding siasatan sehingga satu bulan.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, penangguhan itu sekali gus menjadikan kelewatan prosiding siasatan dan menimbulkan persoalan rakyat sendiri.
"PAC tidak sepatutnya berkompromi dengan Arul Kanda. Kenapa perlu tunggu sehingga sebulan?
"Negara sedang menghadapi kemelut hilang keyakinan rakyat pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemungkinan akan diusulkan undi tidak percaya dalam Parlimen.
"Ini gara-gara isu 1MDB yang memberi maklumat salah kepada Kementerian Kewangan dalam isu simpanan RM3.6 bilion dalam akaun bank BSI di Singapura," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: 1MDB: 'Adakah Arul Kanda, Shahrol dapat kebenaran ponteng pendengaran PAC?'
PAC tidak sepatutnya berkompromi dengan Arul Kanda. Kenapa perlu tunggu sehingga sebulan?
Pada Isnin, Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesahkan akan mengambil keterangan daripada tiga buah syarikat yang membuat pengauditan ke atas akaun syarikat 1MDB.
BACA: Tiga syarikat pengauditan 1MDB akan dipanggil untuk prosiding PAC
Selain itu kata Nur Jazlan, PAC turut menerima surat makluman daripada Kementerian Kewangan pada Jumaat lepas bahawa prosiding 1MDB pada hari ini terpaksa ditangguhkan kerana Arul Kanda Ketua Pegawai Eksekutif pertama 1MDB,
Datuk Shahrul Halmi Shahrul tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan di luar negara.
Khairuddin turut mempersoalkan sikap PAC yang terlampau berlembut terutama kepada Arul Kanda.
BACA: Bohong isu wang 1MDB di Bank Singapura satu kesalahan jenayah - Dr Mahathir
"Kenapa PAC harus berlembut sangat dengan Arul Kanda yang telah banyak kali menipu rakyat dengan mengatakan kedudukan kewangan serta dana 1MDB amat kukuh.
"1MDB yang diterajui oleh Arul Kanda telah mengaibkan imej Najib serta negara di seluruh dunia.
"Lihat isu penipuan simpanan wang tunai 1MDB di dalam akaun bank BSI yang juga sedang disiasat oleh Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS), ia amat memalukan negara," jelasnya.
BACA: Terlalu awal untuk buat kesimpulan tentang 1MDB - PAC
Dalam pada itu, Khairuddin juga mempersoalkan tindakan Kementerian Kewangan yang memberi maklumat salah kepada Najib di Parlimen.
"Kenapa Kementerian Kewangan tidak mahu mengambil sebarang tindakan terhadap 1MDB dan Arul Kanda mesti bertanggungjawab dalam kes ini.
"Apa yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua ahli lembaga pengarah 1MDB dipecat tidak boleh dilengahkan lagi," ujarnya.
BACA: 1MDB: 'Saya buat laporan polis kerana Tun M dedah kesalahan jenayah' - Khairuddin
Dalam pada itu kata Khairuddin, Najib seharusnya membuat laporan polis kerana 1MDB memberikan maklumat salah kepadanya dalam isu berkenaan.
"Najib perlu membuat laporan polis keatas 1MDB dan seterusnya menggantung tugas mereka dengan berikan matlumat salah untuk dijadikan jawapan bertulis di Parlimen pada Mac lepas.
"Ini adalah kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dimaafkan. Kenapa Najib tidak mengambil sebarang tindakan disiplin atau undang-undang terhadap 1MDB? Sungguh menghairankan," ujarnya.
BACA: Najib yakin kerajaan mampu ambil langkah kurangkan hutang 1MDB
Najib sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan yakin akan dapat melaksanakan langkah-langkah mengurangkan hutang 1MDB.
Katanya, langkah-langkah itu akan dapat dilaksanakan Kementerian Kewangan meskipun mendapat banyak kritikan.
#1MDB #arul #Khairuddin #najib #PAC
;