1MDB: Jumlah rampasan aset difailkan di DoJ kini mencecah RM7.14 bilion

Ibrahim Sani
Februari 23, 2019 14:59 MYT
DoJ menyatakan kali ini jumlah aset yang difailkan dianggarkan sekitar AS$38 juta (RM160 juta). - Gambar fail
Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) hari ini mengumumkan telah memfailkan satu lagi tuntutan rampasan aset melalui perundangan sivil dalam usaha mendapatkan kembali aset yang didakwa diambil dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
DoJ menyatakan kali ini jumlah aset yang difailkan dianggarkan sekitar AS$38 juta (RM160 juta).
Dengan langkah terbaharu ini, jumlah keseluruhan rampasan aset yang difailkan DoJ mencecah kira-kira AS$1.7 bilion (RM7.14 bilion).
Pengumuman dibuat Penolong Peguam Negara, Brian A. Benczkowski; Bahagian Jenayah, Jabatan Peguam Negara; Peguam AS, Nicola T. Hanna dari Central District of California; Penolong Pengarah Robert Johnson dari Bahagian Penyiasatan Jenayah FBI dan Ketua Don Fort dalam Penyiasatan Jenayah IRS (IRS-CI).
Menurut aduan itu, dari tahun 2009 hingga 2015, lebih daripada AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) dana milik 1MDB didakwa disalahguna oleh pegawai tertinggi 1MDB dan sekutu mereka.
1MDB diwujudkan oleh kerajaan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan ekonomi di Malaysia melalui perkongsian global dan pelaburan langsung asing, dan dana itu bertujuan untuk digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Sebelum ini, DoJ telah membuat pemfailan rampasan aset yang didakwa diambil dari 1MDB pada tahun 2016 sebanyak AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dan pada tahun 2017 sebanyak AS$530 juta (RM2.2 bilion).
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #2015 #Amerika Syarikat #AS #Benczkowski #California #DoJ #don fort #ekonomi #FBI #hanna #hannah #jenayah #Jho Low #kerajaan #Najib Razak #Peguam Negara #pelaburan #rakyat Malaysia
;