1MDB hanya bayar AS$2.2 bilion kepada Aabar - Penyiasat

Bernama
September 12, 2024 22:30 MYT
Seorang penyiasat penipuan kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa siasatan beliau mendedahkan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya membayar AS$2.2 bilion kepada Aabar Investments PJS Ltd.
KUALA LUMPUR: Seorang penyiasat penipuan kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa siasatan beliau mendedahkan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya membayar AS$2.2 bilion kepada Aabar Investments PJS Ltd.
Bagaimanapun, Richard Templeman yang berpangkalan di United Kingdom berkata beliau tidak membangkitkan isu bahawa terdapat percanggahan dalam tuntutan 1MDB sebanyak AS$1 bilion kepada plaintif sebelum perbicaraan kes saman itu bermula atau memaklumkannya dalam pernyataan saksi.
Templeman berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama saman AS$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Semasa perbicaraan kes jenayah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan pertuduhan menyeleweng dana 1MDB, Aabar Investments PJS Ltd didedahkan sebagai entiti palsu yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, di Seychelles.
Ketika disoal oleh peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Irwan, mengenai kegagalannya untuk memaklumkan pekara itu kepada plaintif, Templeman berkata beliau memberi keterangan secara bebas dan tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa beliau telah gagal dalam tanggungjawabnya untuk memaklumkan mahkamah mengenai percanggahan itu.
Lavinia: Siasatan anda mendapati jumlah yang dibayar ialah AS$2.2 bilion dan bukan AS$3.5 bilion seperti yang dinyatakan dalam saman 1MDB?
Templeman: Saya boleh sahkan ia adalah AS$2.2 bilion.
Lavinia: Anda telah diberikan pernyataan tuntutan. Ketika menelitinya, anda tahu jumlah yang dituntut adalah salah, adakah anda tidak memaklumkan perkara itu kepada peguam 1MDB?
Templeman: Saya tidak berbuat demikian.
Pada Mei 2021, 1MDB telah memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah serta konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Dana Bridge Global.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments serta AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.
1MDB menuntut ganti rugi sebanyak AS$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan berhubung pelanggaran itu serta tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan perjanjian pelanjutan pekerjaan.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 17 Sept ini.
-- BERNAMA
#1MDB #Richard Templeman #Aabar Investments PJS Ltd #bayar
;