1MDB: Hakim tegur pasukan pembelaan Najib, Mohd Hazem bukan pakar tandatangan

Firdaus Azil
Mei 19, 2021 18:44 MYT
Sequerah minta peguam Najib bangkitkan perkara tersebut dalam penghujahan secara lisan, pada peringkat akhir perbicaraan. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak cubaan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyoal saksi pendakwaan ke-10, Mohd Hazem Abdul Rahman tentang kesahihan tandatangan di atas beberapa dokumen.
Hakim Collin Lawrence Sequerah yang bersetuju dengan bantahan pasukan pendakwaan, memberitahu peguam Wan Aizuddin Wan Mohamed bahawa Mohd Hazem yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, bukan pakar dalam menentukan kesahihan tandatangan.
Sequerah meminta pasukan pembelaan untuk membangkitkan perkara tersebut dalam penghujahan secara lisan, di peringkat akhir perbicaraan itu.
Terdahulu, Wan Aizuddin bertanya Mohd Hazem tentang tandatangan berkaitan dokumen pemindahan dana bernilai jutaan ringgit antara 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) kepada Cistenique Investment Fund dan Devonshire Funds Ltd pada 2013.
Mohd Hazem diminta mengenal pasti sama ada lengkungan, atau bentuk tandatangan itu menyerupai tandatangan milik bekas ketua pegawai kewangan, Azmi Tahir dan bekas pegawai eksekutif syarikat, Geh Choh Heng.
Selain itu, Wan Aizuddin juga bertanya jika terdapat unsur pemalsuan mengenai tandatangan itu seperti ‘cut and paste’.
Kedua-dua mereka didakwa telah memberi kelulusan kepada BSI Bank melalui dokumen berkenaan untuk memindahkan sejumlah wang kepada dua syarikat tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membantah dan menegaskan Mohd Hazem bukan pakar dalam tandatangan.
Hakim Sequerah kemudian memutuskan soalan yang ditanya kepada Mohd Hazem adalah di luar bidang pengetahuan saksi itu.
Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalah guna kuasa untuk mendapatkan dana RM2.28 bilion untuk diri sendiri, serta 21 pertuduhan penyelewengan melibatkan dana yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
#1MDB #Najib Razak #Mohd Hazem #Hakim Collin Lawrence Sequerah #tandatangan #pecah amanah jenayah #Mahkamah Tinggi #bank #mahkamah
;