1MDB: 'Goldman Sachs gagal jaga kepentingan negara' - Najib
Firdaus Azil
November 22, 2018 12:54 MYT
November 22, 2018 12:54 MYT
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan kesalahan atas firma pelaburan global Goldman Sachs kerana gagal menasihat mereka mengenai kepincangan yang berlaku dalam 1Malaysia Development Berhad.
Dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian hari ini, beliau berkata, pihak berkenaan telah dilantik bagi menjaga kepentingan Malaysia dalam aktiviti pelaburan 1MDB, namun mereka terbukti gagal.
“Masa itu kita dah telah lantik peguam, juruaudit dan Goldman Sach, iaitu sebuah investment bank begitu tersohor peringkat global. Tanggungjawab mereka semua ini adalah menjaga kepentingan Malaysia.
Kalau dia gagal (menasihati), macam mana saya nak tahu. Patut dia beritahu ada sesuatu yang tak betul. Dia jelas menggagalkan jalan tanggungjawab dia, misalnya Goldman Sachs,” kata bekas Presiden UMNO itu.
Najib berkata, mereka semua, termasuk Goldman Sachs dilantik bagi mewujudkan sistem untuk memastikan aktiviti pelaburan 1MDB berjaya, tetapi peranan itu tidak dimainkan dengan berkesan.
Mengulas mengenai Jho Low, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk membawa individu berkenaan kerana percaya ia akan memberi manfaat kepada negara, khasnya dalam hubungan diplomatik dan pelaburan dengan negara Timur Tengah.
“Sebenarnya Jho Low ini mula dengan Terengganu Investment Authority sebagai konsultan, sebagai advisor. Sebelum 1MDB, dia ada hubungan rapat dengan negara-negara Timur Tengah, seperti UAE dan Arab Saudi. Dan dia berjaya bawa masuk investment dengan kerjasama pihak tertentu.
“”Saya lihat dia dari sudut itu, kalau kita gunakan back channel dia, kita boleh tingkatkan hubungan diplomatik (dengan negara-negara berkenaan),” kata beliau.
Jelas Najib lagi, beliau hanya mempunyai hubungan profesional dengan Jho Low, dan segala aktiviti individu berkenaan seperti menganjurkan parti mewah, membeli aset seperti kapal layar dan kapal terbang, adalah diluar pengetahuan beliau.
Beliau berkata, Jho Low pasti tidak akan lepas dari tindakan undang-undang sekiranya jelas perbuatannya adalah satu jenayah.
Menurut Najib, hubungan beliau dengan Jho Low bersifat profesional dan tidak tahu-menahu tentang kapal layar mewah miliknya.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Arab Saudi
#bank
#Goldman Sachs
#Jho Low
#Najib Razak
#pelaburan
#Perdana Menteri
#Terengganu Investment Authority
#Timur Tengah
#UMNO