1MDB-Goldman Sachs: AGC fail respons kepada Pendaftar Mahkamah LCIA
Astro Awani
November 8, 2023 22:49 MYT
November 8, 2023 22:49 MYT
KUALA LUMPUR : Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan balasan kepada Pendaftar Mahkamah London Court of International Arbitration (LCIA) berhubung permohonan untuk timbang tara pelaksanaan perjanjian penyelesaian antara Kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs Group, Inc (Goldman Sachs).
Tindakan itu dibuat berdasarkan Artikel 2.1 Peraturan LCIA yang mana Kerajaan Malaysia perlu memfailkan balasan (response) kepada Pendaftar Mahkamah LCIA dalam tempoh 28 hari dari tarikh permohonan untuk timbang tara tersebut difailkan.
AGC dalam kenyataan sama memaklumkan pada 11 Oktober 2023, Goldman Sachs menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam satu permohonan timbang tara yang difailkan di LCIA.
Menurutnya, permohonan untuk timbang tara itu adalah bagi mendapatkan relif-relif tertentu yang dikatakan berbangkit daripada pelaksanaan Perjanjian Penyelesaian bertarikh 18 Ogos 2020 yang telah dimeterai antara Kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs.
Sehubungan itu, AGC komited dalam memastikan kepentingan Kerajaan Malaysia sentiasa dilindungi dan kekal terpelihara sepanjang prosiding berkaitan permohonan untuk timbang tara yang telah difailkan oleh Goldman Sachs ini.