1MDB bukan punca BN kalah?
Sinar Harian
November 4, 2018 18:14 MYT
November 4, 2018 18:14 MYT
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tidak pernah menyatakan 1MDB bukan punca BN kalah.
Menurutnya, beliau tidak mahu terjerumus dalam permainan menuding jari terhadap kekalahan BN dalam PRU14 lalu.
“(Datuk Seri) Nazri Aziz dan Khairy (Jamaluddin Abu Bakar) tidak hadir di acara sembang santai bersama rakan-rakan Facebook saya semalam namun mengeluarkan pendapat mereka bersandarkan kepada laporan berita yang tidak tepat dan nakal.
“Sudah tentu jika mereka hadir sama-sama atau menonton video ‘FB live’ mereka tahu apa yang saya maksudkan tentang propaganda tidak benar dan penipuan dibuat mengenai 1MDB. Saya tak kata 1MDB tidak menjadi faktor kekalahan BN.
“Saya tak mahu terjerumus ke dalam permainan menuding jari ini tetapi saya percaya setiap seorang daripada kita bertanggungjawab terhadap kekalahan ini,” katanya melalui catatan di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ketua Pemuda Umno melalui akaun Twitter membuat kenyataan ringkas yang menyebut BN kalah kerana 1MDB sebagai respons kepada laporan media tempatan terhadap kenyataan Najib dalam Program Bersembang Santai Bersama Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Dalam program tersebut, Najib mendakwa kekalahan BN dalam PRU lalu bukan kerana parti itu tetapi kerana penipuan, fitnah dan janji palsu PH.
Sementara Nazri turut bersetuju dengan kenyataan Khairy Jamaluddin dan menegaskan segala keputusan mengenai skandal 1MDB hanya diketahui Kabinet selepas isu itu kecoh di media.
Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau menyedari hakikat berkaitan 1MDB itu lalu berusaha mendapatkan kembali wang yang dikatakan hilang.
“Jika saya percaya bahawa tiada apa yang salah tentang 1MDB, sudah tentu saya tidak akan mengarahkan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) yang dianggotai ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan untuk siasat atau menandatangani penyelesaian dengan IPIC (International Petroleum Investment Corp, Abu Dhabi) bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan hilang.
“Saya ambil tanggungjawab itu dan melepaskan semua jawatan serta tidak bertanding dalam apa apa jawatan parti atau dilantik bagi apa-apa jawatan,” katanya.
Beliau juga meminta agar tiada yang bimbang tentang kelantangannya di media sosial atau sokongan diterima dalam sesi sembang santai itu.
“Sebagaimana saya katakan di program itu semalam, saya hanya berminat untuk memperbetul dan menjelaskan mengenai penipuan yang berleluasa PH selama ini dan yang direka selepas jadi kerajaan.
“Mengeluarkan fakta, membersihkan nama saya, mengkritik dan memberi pendapat saya apabila saya lihat sesuatu isu berkaitan rakyat dan hala tuju negara. Berilah ruang untuk saya mencapai matlamat ini,” katanya.