1MDB: Bersatu dan beri kepercayaan kepada Najib - Mas Ermieyati

Astro Awani
Jun 2, 2015 10:34 MYT
MAS ERMIEYATI: Bersatu dan beri kepercayaan kepada Najib. -Gambar fail
Pergerakan Puteri UMNO mahu semua ahli parti dan anggota Kabinet memberi sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu penyelesaian kemelut syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, paling penting kini adalah bersatu dan memegang amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat demi kemakmuran dan kelangsungan keharmonian negara.
"Kita sedar cabaran getir yang dihadapi parti masa kini. Bagaimanapun usaha untuk memastikan penyatuan berpanjangan dalam UMNO sentiasa dilakukan demi bangsa Melayu khasnya dan keseluruhan rakyat negara ini umumnya.
"Puteri UMNO melihat ia satu teguran lembut apabila Najib meminta mana-mana anggota Kabinet untuk meletak jawatan seandainya tidak memberikan kepercayaan untuk bersamanya memulihkan 1MDB baru-baru ini.
Ia dilihat platform untuk memastikan semua ahli parti segera kembali ke landasan sekali gus membawa UMNO ke destinasi kejayaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
BACA: 1MDB: Letak jawatan jika tidak bersama pulihkan - Najib
Puteri UMNO melihat ia satu teguran lembut apabila Najib meminta mana-mana anggota Kabinet untuk meletak jawatan seandainya tidak memberikan kepercayaan untuk bersamanya memulihkan 1MDB baru-baru ini
Najib sebelum ini dilaporkan meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1MDB supaya meletakkan jawatan.
Kenyataan itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.
Kata Mas Ermieyati, walaupun pihaknya menyedari banyak konflik selain kontroversi membabitkan 1MDB, ia bukan noktah yang meletakkan serta melemparkan semua hukuman kepada Najib.
"Kita mahu rakyat tidak membuat kesimpulan segera kepada isu yang masih di dalam prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
"Kepercayaan kepada Najib dibuktikan apabila tiada seorang anggota Kabinet yang meletakkkan jawatan semasa dia meminta mana-mana pemimpin melepaskan jawatan jika tidak percaya kepada jalan yang dicadang dalam isu 1MDB," jelasnya.
BACA: 1MDB: Seluruh Kabinet bertanggungjawab, bukan Najib seorang - Ku Li
Dalam pada itu kata Mas Ermieyati, rakyat negara ini perlu sabar menanti dan memberi sedikit masa kepada hasil siasatan PAC terhadap individu atau pihak yang terlibat di dalam skandal yang dikatakan mencalar kepimpinan negara.
"Sikap menanti dengan sabar dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada prosiding siasatan harus sentiasa ada dalam diri setiap rakyat negara ini.
"Meletakkan kesalahan di bahu mana-mana pemimpin tidak akan menyelesaikan masalah 1MDB. Najib sudah menegaskan ia akan diselesaikan dalam sedikit masa selain jaminan PAC kepada semua yang terlibat akan disiasat dan dihukum jika benar terbukti kesalahannya harus diberi keutamaan," ujarnya.
BACA: Menteri Kewangan Kedua nafi laporan 1MDB akan dibubar
Mas Ermieyati turut mengajui situasi sekarang tidak semudah dahulu dengan perkembangan teknologi maklumat dan pelbagai informasi tidak sahih yang berlegar di media sosial diakui memburukkan keadaan.
"Bagaimanapun, dengan semangat jati diri serta azam dan tekad untuk membangunkan negara, kita yakin isu 1MDB ini akan menemui jalan dan penyelesaian terbaik di akhirnya," katanya.
#1MDB #Mas Ermieyati #najib #UMNO
;