1MDB: Azam Baki arah teruskan siasatan sehingga dapat bukti kukuh - Saksi

Bernama
Februari 13, 2025 20:41 MYT
Fikri Ab Rahim berkata Azam (foto), yang kini Ketua Pesuruhjaya SPRM, berpendapat maklumat yang diperoleh semasa lawatan mereka ke Arab Saudi pada 2015 itu tidak mencukupi dan perlu mendapatkan bukti kukuh. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki mengarahkannya untuk terus menyiasat kes RM2.6 bilion melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, walaupun selepas bertemu dengan individu yang didakwa sebagai "penderma" dari Arab Saudi di Istana Riyadh.
Fikri Ab Rahim berkata Azam, yang kini Ketua Pesuruhjaya SPRM, berpendapat maklumat yang diperoleh semasa lawatan mereka ke Arab Saudi pada 2015 itu tidak mencukupi dan perlu mendapatkan bukti kukuh.
Saksi pembelaan kelapan itu berkata demikian ketika disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri terbabit berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
"Apa yang saya dapat rumuskan, kami berpuas hati dengan keterangan yang diberikan wakil putera Arab Saudi, namun Tan Sri Azam Baki meminta kami meneruskan siasatan sehingga kami betul-betul dapat keterangan kukuh," katanya.
Selain Fikri, pegawai SPRM yang turut ke Riyadh ketika itu ialah Penolong Pesuruhjaya Mohd Nasharudin Amir, Azam, serta Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mewakili Jabatan Peguam Negara.
Saksi itu berkata semasa lawatan ke istana, mereka bertemu dengan Eric Tan Kim Loong, sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
"Tan sudah berada di istana Riyadh bersama peguamnya Datuk Selva Kumar Mookiah. Saya tidak pasti bagaimana Tan boleh berada di sana kerana ia bukan sebahagian daripada aturan pasukan penyiasat.
"Peguamnya memberitahu kami bahawa Tan bersedia memberikan kenyataan. Dia kelihatan sangat selesa dan biasa dengan tiga putera Arab Saudi yang hadir, malah turut berinteraksi secara langsung dengan putera berkenaan," katanya.
Beliau turut memberitahu mahkamah pasukan penyiasat dimaklumkan bahawa Putera Saud Abdulaziz Al-Saud mempunyai imuniti (kekebalan), justeru mereka tidak dapat mengambil kenyataan putera itu secara langsung.
Bagaimanapun, putera berkenaan bersetuju memberikan kenyataan menerusi wakil yang dilantik, iaitu Mohamad Abdullah Al-Koman.
Namun, Fikri berkata beliau tidak terlibat dalam proses rakaman kenyataan kerana ia dikendalikan oleh pegawai penyiasat yang lain.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib berdepan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan akan bersambung pada Selasa depan.
-- BERNAMA
#1MDB #SPRM #Azam Baki #Arab Saudi
;