1MDB: Arul Kanda, Shahrol Halmi perlu tampil beri keterangan Ogos ini - PAC
Bernama
Jun 10, 2015 23:45 MYT
Jun 10, 2015 23:45 MYT
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO Datuk Shahrol Halmi pada awal Ogos bagi memberi keterangan berhubung isu 1MDB.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata selepas mereka gagal tampil memberi keterangan pada Mei lepas, mereka diberi peluang sekali lagi untuk hadir pada satu tarikh pada minggu pertama Ogos yang akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi.
"Kali ini tidak boleh beri alasan, mereka berdua kena datang ... disebabkan bulan puasa dan hari raya, dan kedua-dua mereka Muslim, jadi kami beri mereka peluang untuk menyambutnya terlebih dahulu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata PAC juga akan memanggil dua lagi firma yang mengaudit 1MDB iaitu KPMG dan Ernst & Young pada sesi prosiding yang dijangka diadakan pada minggu depan.
Katanya selain Arul dan Shahrol, PAC juga akan bertemu dengan seorang wakil Kementerian Kewangan pada bulan yang sama bagi mendapatkan keterangan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil wakil Bank Negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
"Tujuan prosiding ini sebenarnya untuk memanggil watak-watak utama, MOF (Kementerian Kewangan), pemegang saham, pengurusan, auditor, dan kemudiannya anggota lembaga (pengarah). Selepas itu kami akan dapat gambaran lebih menyeluruh dan memutuskan siapa lagi yang akan dipanggil untuk melengkapkan laporan," katanya.
Nur Jazlan menjelaskan sebarang isu berbangkit dalam setiap prosiding akan dikaji dan dibuat perbandingan berdasarkan pandangan pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding 1MDB itu.
Mengulas lanjut mengenai prosiding bersama firma yang mengaudit 1MDB iaitu Firma Deloitte & Co, beliau berkata tiada tanda-tanda penyelewengan dalam audit yang dijalankan firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu terhadap penyata kewangan 1MDB bagi tarikh berakhir 31 Mac 2014.
"Dalam prosiding ini, kita juga perlu mendapatkan penerangan sama ada syarikat 1MDB ini bergantung sepenuhnya kepada jaminan kerajaan untuk beroperasi serta masih berupaya sebagai 'going concern' untuk terus beroperasi sebagai 'sovereign fund' atau tidak, selepas ia tidak dinyatakan dalam laporan juruaudit," katanya.