1MDB: Anifah temui duta AS di Putrajaya

Bernama
Julai 22, 2016 08:18 MYT
1MDB: Anifah temui duta AS di Putrajaya. - Gambar fail
Malaysia belum menerima sebarang permintaan dari Amerika Syarikat bagi mendapatkan maklumat atau bukti untuk memfailkan saman sivil untuk mendapatkan kembali aset-aset yang dikatakan dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyatakan perkara ini dalam pertemuannya dengan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y. Yun di Kementerian Luar di Putrajaya semalam.
BACA: 1MDB nafi disaman DOJ
BACA: Tiada bukti wang 1MDB digelapkan - Peguam Negara
BACA: Tiada lagi perkara yang disembunyi - Salleh Said Keruak
Pertemuan itu diadakan susulan sidang media oleh Peguam Negara Amerika Syarikat pada 20 Julai mengenai tindakan memfailkan saman sivil, menurut kenyataan dari kementerian.
"Bagaimanapun, Malaysia bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana siasatan ke atas syarikat-syarikat Malaysia selaras dengan protokol antarabangsa asalkan Malaysia dan Amerika Syarikat bekerjasama dalam perkara ini," kata kenyataan itu.
Kementerian berkata Malaysia amat menghargai hubungan dua halanya dengan Amerika Syarikat dan meminta negara itu memperakui pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia bagi menangani isu 1MDB.
#1MDB #aman #Anifah #Loretta Lynch
;