1MDB alami kerugian US$2.2 bilion dalam urusniaga dengan PSI

Bernama
November 6, 2019 08:38 MYT
Shahrol Azral berkata, PSI terus menggunakan nama syarikat usahasama '1MDB Petrosaudi Ltd' walaupun selepas PSI tidak lagi memiliki apa-apa kepentingan dalam syarikat itu. - Gambar fail
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata syarikat dana kekayaan berdaulat itu dibayar hanya RM129 juta oleh PetroSaudi International Limited (PSI), walaupun ia berhutang dengan 1MDB sejumlah US$2.2 bilion.
Shahrol Azral, 49, berkata PSI hanya membuat pembayaran keuntungan pertama kepada 1MDB secara tunai, dan seterusnya langsung tidak membayar satu sen pun bagi tahun kedua dan tahun-tahun seterusnya.
Saksi pendakwaan kesembilan itu ditanya oleh ketua peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa sesi soal balas pada Selasa, hari ke-31 perbicaraan dana 1MDB.
Muhammad Shafee: Dalam tempoh tahun pertama pada 3 Okt 2010 sehingga 3 Okt 2011, 1MDB tentu sudah membuat berjuta-juta keuntungan.
Shahrol Azral: Sepanjang pengetahuan saya, benar, untung. Kami dibayar secara tunai.
Muhammad Shafee: Anda benar-benar serius, ia dalam bentuk tunai?
Shahrol Azral: Ya.
Muhammad Shafee: Bagaimana pula dengan pembayaran kedua?
Shahrol Azral: Kami tidak menerima sebarang pembayaran sejak tahun kedua dan tahun-tahun berikutnya.
Selepas diasak seterusnya oleh Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata jumlah hutang PSI kepada 1MDB adalah sekitar US$2.2 billion termasuk faedah sehingga tahun 2015.
"Sesetengah wang itu ada dikembalikan dalam bentuk ratusan juta, tapi saya tidak selesa untuk mendedahkan angkanya.
"Sesetengahnya tidak dapat dikutip, dan dipulangkan dalam ratusan juta yang rendah. Kebanyakannya tersangkut dalam bentuk unit dana. Pada masa itu saya telah meninggalkan 1MDB,” tambahnya.
Shahrol Azral turut bersetuju terhadap cadangan Shafee bahawa hubungan 1MDB dengan PSI telah mengakibatkan syarikat sumber strategik itu mengalami kerugian sejumlah US$2.2 bilion daripada usahasama, nota terma Murabaha, dan pinjaman berikutnya.
"Pada tahun 2010, sekiranya kami melihat urusniaga (dengan PSI) sebagai meragukan, saya setuju kami boleh mengelak kerugian,” katanya.
Saksi itu turut berkata PSI terus menggunakan nama syarikat usahasama "1MDB Petrosaudi Ltd" walaupun selepas PSI tidak lagi memiliki apa-apa kepentingan dalam syarikat itu.
Muhammad Shafee merujuk kepada satu surat yang dialamatkan kepada bekas syarikat usahasama itu, 1MDB PetroSaudi Ltd, mengenai kelulusan daripada 1MDB bagi meminjam US$500 juta dari Bank Standard Chartered di Labuan.
Ditanya oleh peguam mengenai berapa lama dan kenapa 1MDB membenarkan nama itu digunakan oleh PSI, saksi itu berkata beliau tidak sedar mengenainya, kerana “soalan itu tidak pernah timbul”.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #bank #kerugian #keuntungan #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #PetroSaudi #Shahrol Azral Ibrahim Halmi
;