1MDB akan terus beroperasi, kata Arul Kanda

Bernama
Januari 12, 2016 22:25 MYT
ARUL: Risiko tidak membayar hutang telah berkurangan dengan ketara.
1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan terus beroperasi walaupun selepas pelan rasionalisasinya selesai, berikutan ia mempunyai tanggungjawab yang perlu dipenuhi, kata Presiden/Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamy.
"Kemungkinan besar kami akan meneruskan 1MDB dengan tanggungjawab ini.
"Setiap tanggungjawab kini berpadanan dengan siri aliran tunai yang terikat dari segi undang-undang dengan pihak-pihak lain.
"Oleh itu, risiko tidak membayar hutang telah berkurangan dengan ketara," katanya dalam video selama satu minit yang dimuat naik di laman Facebook Buletin TV3 hari ini.
Awal hari ini, menurut 1MDB dalam kenyataan, ia telah melaksanakan perjanjian yang diberi kuasa dari segi perundangan untuk tiga tonggak utama pelan rasionalisasinya bagi tarikh akhir enam bulan yang ditetapkan kerajaan.
Syarikat itu berkata ia kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk melaksanakan terma-terma perjanjian dan mencapai penyelesaian.
Pembayaran sukuk RM5 bilion yang matang pada 2039 merupakan antara tanggungjawab yang pada masa ini dipegang 1MDB, selain penukaran liabiliti kepada aset dengan International Petroleum Investment Company Abu Dhabi sehingga 2022.
#1MDB #Arul Kanda #pelan rasionalisasi
;