1MDB akan dapatkan penjelasan Jabatan Audit berhubung dokumen

Bernama
Julai 9, 2015 22:53 MYT
ARUL: 1MDB akan segera menghubungi Jabatan Audit Negara untuk mendapatkan penjelasan berhubung dokumen yang dirujuk PAC. -Gambar fail
1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan segera menghubungi Jabatan Audit Negara untuk mendapatkan penjelasan berhubung dokumen yang dirujuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menyelesaikan
audit yang dilakukan jabatan itu.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda berkata, mereka mengambil maklum komen pengerusi PAC berhubung ketelitian siasatan Ketua Audit Negara, termasuk memeriksa dokumen yang diperoleh dari 1MDB dan pihak-pihak lain.
"1MDB mengesahkan bahawa semua dokumen dalam milikannya telah dikemukakan kepada Jabatan Audit Negara.
"Oleh kerana laporan interim belum dikongsi dengan 1MDB, kami tidak dapat mengulas mengenai kenyataan pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa dokumen tertentu nampaknya belum dihantar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hari ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan awal berhubung 1MDB kepada PAC di bangunan Parlimen.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Nur Jazlan berkata PAC meminta 1MDB untuk menyerahkan dokumen yang diminta oleh Ketua Audit Negara bagi menyiapkan audit berkenaan.
Beliau berkata, dokumen itu termasuk penyata bank dan kertas perjanjian yang dianggap penting untuk audit yang sedang berjalan.
Arul mengulangi komitmen 1MDB untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Ketua Audit Negara dan semua pihak berkuasa yang sah yang sedang menyiasat 1MDB.
Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Ketua Audit Negara menyemak akaun 1MDB dan berkata beliau berharap hasil dapatan daripada Audit Negara akan menghentikan spekulasi yang lain tentang aktivitinya.
PAC memulakan siasatan sendiri berhubung syarikat pelaburan kerajaan itu pada 19 Mei, selepas membuat keputusan untuk berbuat demikian pada satu mesyuarat khas pada 30 April.
Jumaat lalu, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan satu artikel yang mendakwa dana 1MDB disalurkan kepada akaun bank peribadi Najib.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menolak laporan WSJ dan menyifatkannya sebagai satu sabotaj politik untuk menjatuhkan perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB juga berkata ia tidak pernah memindahkan dana kepada Najib.
#1MDB #Arul Kanda #ketua audit #najib #sabotaj politik #siasatan #WSJ
;