'1Malaysia Privilege Card' untuk pesara

Wan Syamsul Amly
April 8, 2013 19:30 MYT
'1Malaysia Privilege Card' khusus bagi anggota tentera dan polis akan diperluaskan kepada pesara kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia tanda penghargaan golongan itu terhadap kepercayaan kepada kerajaan sepanjang perkhidmatan mereka.
"Kita mahu kesetiaan mereka kepada kerajaan tidak berbelah bagi. Apa yang kita beri selama ini termasuk pencen minimum adalah sedikit dari tanda menghargai pesara.
"Kerana itu ia dilihat sebagai penghargaan kita selain golongan polis dan tentera yang sudah menikmati faedah dari kad ini," katanya semasa berucap pada majlis pertemuan bersama pesara kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.
Lebih 3,500 orang pesara dari seluruh negara berhimpun bagi mendengar amanat Perdana Menteri.
Ujar Najib, pemegang kad itu kelak akan menikmati diskaun untuk pelbagai perbelanjaan barangan keperluan harian, alat sukan, alat ganti kenderaan selain penjimatan pada produk 1Malaysia.
"Pesara selepas ini akan mendapat pelbagai kemudahan dan paling penting potongan harga di kedai 1Malaysia," jelasnya.
'1Malaysia Privilage Card' sebelum ini dilancar dan diagih secara berperingkat khusus kepada 111,000 warga polis dan 130,000 anggota tentera.
Ia dilaksana dalam tiga fasa dengan permulaan untuk warga tentera dan polis, diikuti fasa kedua membabitkan pesara kedua-dua pasukan manakala fasa ketiga melibatkan perkhidmatan lain yang akan dikenal pasti.
#1Malaysia Privilege Card #najib #pesara #polis #Putrajaya
;