1Azam: Kerajaan pantau ketat pelaksanaan

Astro Awani
Januari 30, 2013 07:18 MYT
Kerajaan akan mengetatkan lagi pemantauan program 1Azam di Sarawak.
Langkah itu bagi memastikan bantuan dihulur tidak disalahguna, dan sebaliknya sampai kepada pihak yang memerlukan secara berkesan.
Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah, pemantauan bertujuan memastikan peserta 1Azam memanfaatkan sepenuhnya bantuan untuk meningkatkan pendapatan.
Ia berikutan laporan segelintir peserta mengambil kesempatan dengan menjual semula perkakas diterima bagi memperolehi wang segera.
“(Kita nak) pastikan dari segi pelaksanaan level, kenapa dijual. Adakah tidak padan, misalnya 1Azam dia tidak minat Azam Tani... kita akan ambil perhatian,” kata Fatimah.
Beliau ditemui selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pembasmian kemiskinan negeri di Kuching pada Rabu.
Menurut Fatimah, kementeriannya memperuntukkan 111 juta ringgit bagi melaksanakan program 1Azam tahun ini.
Program melibatkan 7,500 peserta membabitkan 16 agensi pelaksana termasuk Jabatan Pertanian, FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, dan MARA(Majlis Amanah Rakyat) Negeri.
Seramai 18,400 peserta miskin tegar menyertai program berkenaan yang diperkenal sejak 2010.
Projek 1AZAM diperkenalkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan rakyat Malaysia miskin tegar dan miskin, menambah pendapatan sehingga melebihi had garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM760 sebulan bagi miskin dan di bawah RM2300 sebulan bagi golongan berpendapatan rendah.
#1AZAM #Fatimah Abdullah #Menteri Kebajikan #Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak
;