197 negara setuju hapus penggunaan bahan pemusnah ozon - Wan Junaidi
Bernama
September 29, 2016 18:13 MYT
September 29, 2016 18:13 MYT
Sebanyak 197 negara telah menyatakan persetujuan untuk menghapuskan pengeluaran dan penggunaan bahan pemusnah ozon seperti Kloroflourokarbon (CFC), Halon dan Karbon Tetraklorida (CTC) secara mandatori bermula 1 Jan 2010 sehingga kini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata persetujuan itu dibuat sejak perjanjian Protokol Montreal Mengenai Bahan-bahan Yang Menipiskan Lapisan Ozon dimeterai pada 1989, yang turut membabitkan negara maju termasuk United Kingdom dan Jepun.
"Malaysia telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang sangat komited dalam memulihara alam sekitar terutama dalam pemuliharaan lapisan ozon.
"Malaysia bersama-sama 197 negara yang telah meratifikasi perjanjian itu akan meneruskan komitmen dalam menangani masalah penipisan lapisan ozon sebagai usaha memperlahankan perubahan iklim dan pemanasan global," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Ozon Antarabangsa 2016, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar Mokhtar Abdul Majid.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata menerusi perjanjian itu juga, Malaysia turut memberi komitmen untuk mengurangkan pengimportan Hidroklorofluorokarbon(HCFC) sebanyak 10 peratus pada tahun lepas.
"Bagaimanapun Malaysia telah berjaya mencapai sasaran pengurangan 19 peratus pengunaan HCFC menerusi 'Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC peringkat 1' yang dirangka untuk tempoh 2012 hingga 2016.
"Antara strategi yang turut dirangka di bawah pelan itu termasuklah mengurangkan penggunaan HCFC dalam sektor busa seperti menggantikan teknologi pembuatan busa yang menggunakan HCFC kepada cyclopentane sebagai agen pengembang," katanya.
Hari Ozon Antarabangsa disambut pada 16 Sept setiap tahun oleh semua negara yang meratifikasi Protokol Montreal Mengenai Bahan Pemusnah Lapisan Ozon dan tema sambutan tahun ini 'Ozon dan Iklim: Terpelihara Apabila Seluruh Dunia Bersatu'. - BERNAMA