194 mangsa banjir di Sepang ditempatkan di tiga PPS
Sinar Harian
Disember 1, 2022 23:04 MYT
Disember 1, 2022 23:04 MYT
SEPANG: Seramai 194 individu melibatkan 53 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, jumlah keseluruhan mangsa yang dicatatkan ini setakat jam 3 petang.
"Antara PPS yang dibuka melibatkan Dewan Komuniti Taman Gemilang (62 mangsa), Dewan Orang Ramai Dengkil (45 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali (86 mangsa).
"Dua PPS yang menempatkan mangsa banjir ini dibuka sejak 29 November lalu melibatkan Dewan Komuniti Taman Gemilang dan Dewan Orang Ramai Dengkil manakala Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali dibuka pada 30 November," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, pemantauan banjir dijalankan melibatkan tiga kawasan antaranya Kampung Ampar Tenang, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Cemperai.
Pada Selasa, hujan lebat pada petang melanda beberapa kawasan antaranya Taman Meru Jaya, Klang; Kampung Ahmad Razali, Dengkil dan Kota Warisan, Sepang hingga mengakibatkan banjir kilat. - Sinar Harian