190 jemaah tabligh masih ditahan dan dikuarantin di India - Kamarudin
Rahimah Abdullah
Mei 6, 2020 16:13 MYT
Mei 6, 2020 16:13 MYT
Seramai 14,015 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berjaya dibawa pulang ke tanahair dari seluruh dunia setakat ini, ujar Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar.
Daripada jumlah itu, 664 orang masih terkandas di luar negara termasuk 190 orang jemaah tabligh di India.
"Terdapat 190 rakyat Malaysia melibatkan jemaah tabligh iaitu 158 di New Delhi, 23 di Chennai dan 9 masih di pusat kuarantin yang disediakan pihak berkuasa di India.
"Daripada jumlah tersebut, 55 orang telah dikenakan tuduhan menyalahgunakan visa lawatan oleh pihak berkuasa India," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Kementerian Luar di India bagaimanapun masih menyalurkan bantuan konsular kepada semua jemaah tabligh terlibat dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.
Ia termasuk bantuan makanan, ubat-ubatan dan bekalan barangan asas harian.
"Saya juga telah mengarahkan perwakilan kita di India untuk menyelaraskan usaha bagi membolehkan mereka ini dapat khidmat guaman.
"Pada masa sama kerajaan juga sedang mengusahakan urusan keluar jemaah tabligh yang masih berada di pusat kuarantin," tambahnya lagi.
Kata Kamarudin, usaha kerajaan itu penting bagi memastikan proses membawa semua rakyat Malaysia pulang ke tanahair berjalan lancar.
"Justeru, saya mohon kepada keluarga dan waris terlibat agar bersabar dan sentiasa berdoa agar usaha kita akan dapat membuahkan hasil secepat mungkin," ujarnya.
#India
#Kamarudin Jaffar
#keluarga
#kerajaan
#Malaysia
#Media
#menteri
#New Delhi
#rakyat
#rakyat Malaysia
#Timbalan Menteri Luar
#Visa